Seorang anggota Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) hari ini dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam atas dakwan menghina institusi agama Islam Selangor dengan mengedar risalah dari kumpulan tersebut yang difatwakan sesat.
Tertuduh, Azmi Rahman Mat Zuini, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan di bawah Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.
Azmi ditangkap pada 14 April tahun lalu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika selesai mengedarkan risalah 'Sautun Nadhah' keluaran HTM.
Beliau didakwa melakukan kesalahan menghina pihak berkuasa agama kerana bertindak bertentangan dengan fatwa terhadap kumpulan itu.
Sejurus pengakuan tidak bersalah itu, mahkamah menetapkan 18 Mac depan untuk perbicaraan dan lantikan peguam.
Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Mohd Hisham Zakaria membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM1,000 bersama seorang penjamin dari kalangan penjawat awam.
Sementara itu, jurucakap HTM, Abdul Hakim Othman yang ditemui di luar mahkamah berkata pihaknya akan mengumpulkan dana bagi menampung kos guaman anggotanya.
Pengerusi Majlis Fatwa Selangor yang juga Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid pada Disember 2017 menegaskan, orang Islam sama ada individu atau berkumpulan dilarang berpegang kepada fahaman serta ajaran itu.
Katanya, Hizbut Tahrir adalah menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah.
