Pelajar mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik sekiranya sekolah mewajibkan mereka untuk membaca sekurang-kurangnya tiga karya fiksyen setahun, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menerusi "kelas bahasa Inggeris bersama Cikgu Mahathir" secara langsung di Facebook hari ini, pengerusi Pakatan Harapan itu menawarkan beberapa petua mengenai cara golongan muda di negara ini boleh meningkatkan kefasihan mereka dalam bahasa itu.
"Di samping buku teks, baca buku cerita, saya berpendapat bahawa jika kelas mewajibkan pelajar untuk membaca tiga buku setiap tahun dan guru menyoal mereka (tentang buku yang dibaca) itu, saya yakin mereka akan fasih berbahasa Inggeris," katanya.
"Kedua, mereka tidak harus malu bercakap dalam bahasa Inggeris, walaupun tidak petah pada mulanya," katanya ketika disoal oleh pengacara sesi itu, Ketua Pemuda BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Dalam sesi itu, bekas perdana menteri itu juga mencadangkan penyemakan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), yang diperkenalkannya pada tahun 2003 tetapi kemudian dimansuhkan, setelah menerima pelbagai daripada kumpulan pendidikan tertentu.
Meskipun mempertahankan dasarnya, calon perdana menteri HARAPAN tidak menyatakan sama ada gabungan pembangkang itu akan memperkenalkan semula PPSMI jika mereka berkuasa selepas pilihan raya umum akan datang.
Mahathir juga berkata bahawa masyarakat Melayu harus beralih dari pendirian bahawa hanya bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa yang perlu dikuasai.
"Ini pandangan yang salah," katanya, menjelaskan bahawa mereka yang hanya menguasai satu bahasa hidup dalam dunia yang sempit, kerana hanya mampu berhubungan dengan mereka yang bertutur dalam bahasa sama.
"Dalam dunia moden hari ini, setiap orang perlu menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa," katanya.
