Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Program Tun Dr Mahathir Mohamad bersama masyarakat Orang Asli di Tasik Chini, Pahang hari ini kurang mendapat sambutan apabila dihadiri 50 orang sahaja.

Penduduk tempatan yang ditemui Malaysiakini berkata kebanyakan 500 penduduk perkampungan Orang Asli di situ 'ditarik' ke program anjuran kerajaan yang diadakan berdekatan.

Program itu antaranya menawarkan wang tunai RM100 bagi setiap kanak-kanak yang belajar di SK Tasik Chini.

"Dapat RM500 kalau ada lima anak, saya ada anak seorang saja jadi dapat RM100," kata Zamsari Nubi.

Seorang lagi penduduk, Muhammad Lazim berkata selepas mendapat wang tunai tersebut, mereka kemudian diajak ke sebuah lagi acara pertandingan karaoke tidak jauh daripada tempat itu.

Kira-kira 20 penduduk menyertai program itu ketika Malaysiakini tiba di sana.

Ketua Biro Orang Asli Umno Pekan Shaharuddin Ahmad berkata pertandingan karaoke itu dianjurkan jawatankuasa Kampung Gumum dan Ulu Gumum dengan bantuan Umno.

"Orang Asli memberitahu kami mereka tidak mahu ke ceramah Mahathir, jadi mereka minta kita untuk anjurkan sesuatu," katanya kepada Malaysiakini apabila ditanya sebab program itu dianjurkan.

Beliau berkata pada waktu puncak sejumlah 200 Orang Asli yang menyertai program itu dan malah 10 orang yang menyanyi dengan baik diberikan RM50.

"Kita bagi untuk suka-suka, siapa yang sedap menyanyi dapat wang," katanya sambil menjangka lebih ramai akan hadir pada sebelah malam.

"Kalau 50 orang saja yang ke program Mahathir, kita boleh nampaklah mana yang lebih popular," katanya lagi.

Shaharuddin menyangkal tanggapan bahawa kerajaan dan Umno hanya sebagai reaksi kepada lawatan Mahathir di Pekan.

"Kita kerap buat program untuk Orang Asli. Kita terus berkhidmat sejak dari dulu hingga sekarang."

Beliau menjelaskan bantuan RM100 kepada ibu bapa pelajar SK Tasik Chini kebetulan diagihkan pada hari ini.

"Bantuan ini datang daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Semua sekolah di Pahang dapat, termasuk anak saya (yang bersekolah) di Kuantan.

"Mungkin untuk sekolah ini lambat sedikit," katanya lagi.

Dia bina, dia roboh

Dalam ucapannya kepara Orang Asli di Tasik Chini, Mahathir berjanji Pakatan Harapan (HARAPAN) akan mendengar semua masalah yang dihadapi masyarakat itu dan akan cuba menyelesaikannya.

Beliau juga berjanji akan melihat masalah yang melanda Tasik Chini dan isu empangan di situ yang dibantah mereka.

Shaharuddin bagaimanapun berkata Mahathir sendiri yang sepatutnya dipersalahkan berkenaan empangan itu.

"Siapa yang bina (empangan)? Empangan dibina ketika zamannya, sekarang dia pula yang nak robohkan?"

Ketua Umno Cawangan Salong Zaki Samad berkata kerajaan BN sudah pun mempunyai rancangan menyeluruh bagi memulihkan tasik Chini.

"Ia usaha yang masih berjalan. Kita ada dua jawatankuasa, termasuk daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, dan sebanyak lima perjumpaan telah diadakan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS