Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Rundingan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan dikatakan hampir selesai dan nampaknya DAP tidak
diperuntukkan sebarang kerusi di negeri itu.

Ia bertentangan dengan hasrat DAP Kelantan sebelum ini yang menyuarakan hasrat untuk kembali bertanding di negeri itu selepas kali terakhir berbuat demikian pada 1986.

Menurut sumber HARAPAN Kelantan, setakat ini hanya tinggal tiga atau empat kerusi yang belum dimuktamadkan dan DAP tiada dalam senarai pembahagian.

"Perbincangan akhir memberi bayangan Parti Amanah Negara (AMANAH) akan bertanding 23 kerusi, PKR 10 kerusi dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) 12 kerusi.

"Ia mencukupkan 45 kerusi DUN di Kelantan dan DAP tiada dalam senarai," kata sumber yang enggan namanya disiarkan kepada Malaysiakini hari ini.

Pada September lalu, Timbalan Pengerusi HARAPAN Kelantan Chua Chin Hui (gambar) yang mewakili DAP menyuarakan hasrat parti itu untuk bertanding di dua kerusi DUN iaitu Galas dan Kota Lama.

Kota Lama adalah DUN dengan pengundi Cina paling ramai dan satu-satunya kerusi DUN yang ditandingi MCA pada pilihan raya umum
(PRU) ke-12 dan ke-13.

DUN Galas pula terletak dalam Parlimen Gua Musang dan DAP dikatakan bercadang meletakkan calon Orang Asli di situ.

Namun, sumber itu berkata keputusan yang dicapai hanya di peringkat HARAPAN negeri dan ada kemungkinan kepimpinan pusat akan
memperuntukkan kerusi kepada DAP.

"Sebelum ini kerusi-kerusi DUN (dewan undangan negeri) yang gagal diputuskan dibawa ke peringkat pusat.

"Kini namun masih ada beberapa kerusi belum dimuktamadkan dan kita jangka akan selesai dalam jangka masa terdekat," katanya.

Sementara itu Chua berkata pihaknya kesal jika DAP tidak diperuntukkan sebarang kerusi di Kelantan dan menunggu keputusan akhir
daripada Majlis Presiden HARAPAN.

"Tetapi kita terima apa juga ketetapan dan bersedia untuk bekerjasama dengan rakan dalam HARAPAN demi kemenangan di Kelantan,"
katanya ketika dihubungi.

Lihat Komen
ADS