Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Mengapa saya menimbang untuk bertanding PRU 14'

Walaupun masih belum membuat keputusan, Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah menjelaskan mengapa beliau kini sedang menimbang untuk meninggalkan dunia NGO dan terjun ke politik kepartian.

Aktivis veteran itu berkata beliau melihat politik sebagai "strategi berbeza" bagi mencapai apa yang diperjuangkan sejak lima tahun menerajui badan pemerhati pilihan raya itu.

"Mari kita lihat (menyertai politik) sebagai strategi yang berbeza, kami (di Bersih) telah cuba pelbagai cara - mahkamah, jalan raya dan berjumpa Suruhanjaya Pilihan Raya. Pada tahap berbeza, ia berhasil.

"Tetapi ada juga strategi lain yang boleh digunakan, jadi mengapa kita tidak gabungkan kesemuanya?" katanya kepada pemberita selepas sebuah forum di Institut Darul Ehsan, Shah Alam, hari ini.

Maria bagaimanapun enggan menyatakan bila beliau akan mengumumkan keputusannya.

"Tiada tarikh akhir. Saya mahu memikirkannya. Bukan sahaja Bersih (yang perlu diambil kira), tetapi sama ada saya sudah bersedia dan bagaimana dengan anak saya.

"Seumur hidup saya (bersama) pertubuhan masyarakat sivil, untuk masuk politik secara tiba-tiba adalah komitmen yang besar," katanya.

Sebelum ini Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin mengakui cuba merekrut Maria dan berkata beliau boleh membawa perjuangannya untuk "pilihan raya yang bersih dan adil" ke Parlimen.

Bersih tak terjejas

Maria berkata jika beliau akhirnya memutuskan untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, ia tidak akan menjejaskan Bersih dan menyebabkan NGO itu dianggap bersikap partisan.

Katanya, Bersih sentiasa bersikap bebas dalam mengutarakan pandangan dan mengkritik semua pihak dalam politik.

"Saya harap orang ramai akan mengadili Bersih atas apa yang dilakukannya selama ini. Tuduhan bahawa kami pro-pembangkang misalnya adalah tidak benar.

"Kami sangat jelas tentang objektif kami dan jika anda lihat kembali kenyataan kami tentang pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebelum ini, kami menyentuh kedua-dua pihak," katanya.

Bersih memang sekian lama berhadapan dakwaan berpihak kepada pembangkang.

Himpunan Bersih pertama pada 2007 diketuai pembangkang dan antara tokoh penganjurnya adalah Teresa Kok (DAP), Tian Chua (PKR) dan Dr Dzulkefly Ahmad (ketika itu PAS).

Pada tahun 2008, gabungan NGO itu membuat penjenamaan semula sebagai 'Bersih 2.0' dan sejak itu sentiasa menampilkan pendirian bebas dan tidak lagi dipimpin mereka yang terlibat dalam parti politik.

Lihat Komen
ADS