Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M nak percaya Equanimity bukan milik Jho Low, tapi...

Tun Dr Mahathir Mohamad ingin mempercayai kapal layar mewah Equanimity bukan milik Low Taek Jho tetapi perlulah ditunjukkan bukti terlebih dulu.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Multimedia dan Komunikasi Datuk Seri Salleh Said Keruak semalam yang mengatakan berita mengaitkan rampasan kapal itu di Bali dua hari lalu dengan ahli perniagaan itu adalah "berita palsu" kerana tiada bukti yang menunjukkan demikian.

"Macam mana dia tahu, saya nak minta surat daripadanya. Saya nak tahu siapa pemilik kapal itu, tunjuk (dokumen pemilikan kapal)," katanya kepada pemberita selepas majlis kenduri doa selamat di Kampung Baru, Kuala Lumpur hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu turut mengulas kenyataan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bahawa tidak akan ada tuntutan terhadap kapal itu kerana ia bukan milik kerajaan.

Dengan nada menyindir, Mahathir mempersoalkan sama ada Apandi sendiri telah memeriksa kapal tersebut.

"Mana dia tahu, adakah dia pergi periksa kapal itu?

"Setiap kapal mesti ada certificate of ownership (sijil pemilikan) dan dokumen lain, seperti dibeli di mana dan daripada siapa. Tunjuk dokumen itu dan saya percayalah," katanya lagi.

Kapal yang didaftarkan di Kepulauan Cayman dilaporkan telah dibina khas untuk ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low pada tahun 2014 pada harga AS$250 juta (kira-kira RM1 bilion).

Jabatan Kehakiman AS (DOJ) mahu merampas kapal itu sebagai sebahagian daripada pelucuthakan aset yang didakwa diperolehi menggunakan dana yang disalah guna daripada 1MDB.

'Nak perah Jho Low'

Berkenaan 1MDB, Mahathir berkata beliau tidak yakin syarikat pelaburan milik Kementerian Kewangan itu akan ditutup pada masa terdekat kerana menurutnya hutang yang ditanggung terlalu besar.

"Saya nak tahu dari mana (1MDB) nak dapat duit (untuk bayar hutang). Selagi hutang tidak selesai, 'along' akan ketuk kepala dia.

"Hutang perlu diselesaikan pada jangka masa (ditetapkan), kita tak tahu (tentangnya) tetapi saya tak nampak ia mampu dibayar," katanya.

Terdahulu Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dilaporkan berkata 1MDB akan ditutup sebaik saja melangsaikan semua hutangnya dan beliau yakin ia mampu dilaksanakan.

Bekas perdana menteri itu memberi jaminan Jho Low, individu utama dalam skandal 1MDB, akan diburu jika HARAPAN mentadbir negara selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Dapat Jho Low saya nak perah dia biar keluar duit, (itu pun) kalau anda sokong Pakatan Harapan," katanya lagi.
 

Lihat Komen
ADS