Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 21 warga asing termasuk tujuh wanita yang bekerja sebagai tukang masak dan pelayan di beberapa buah restoran di sekitar Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan dalam Ops Ikrar pada hari Khamis.
Menurut jurucakap jabatan itu, hasil risikan dan intipan yang dijalankan, sepasukan penguat kuasa membuat pemeriksaan di enam buah restoran di sekitar kawasan itu dan menahan tiga warga Pakistan, 17 warga Thailand termasuk enam wanita dan seorang wanita Indonesia berumur 22 hingga 45 tahun atas pelbagai kesalahan.
"Operasi yang bermula pada 9 malam dan berakhir empat jam kemudian itu memberi tumpuan kepada restoran tomyam di sekitar kawasan itu kerana kami mendapat maklumat ramai warga asing terutama warga Thailand bekerja sebagai tukang masak di kedai-kedai berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, dalam Ops Ikrar berasingan, jurucakap berkenaan berkata jabatan itu turut menahan 18 warga asing termasuk lima wanita di sekitar kawasan Bayan Lepas dan Paya Terubong, dekat George Town dalam operasi bermula pukul 3 petang Khamis hingga 5 pagi semalam.
Katanya dalam operasi di tiga buah kilang dan kawasan flat itu, seramai 252 warga asing diperiksa dan pihaknya menahan lapan lelaki Bangladesh, enam warga Indonesia termasuk lima wanita, tiga lelaki Myanmar dan seorang lelaki Nepal, berumur 28 hingga 40 tahun.
Beliau berkata pihaknya turut memerintahkan dua lelaki yang merupakan majikan mereka untuk hadir di pejabat Imigresen Pulau Pinang kerana menggaji warga asing tanpa dokumen yang sah.
- Bernama
