mk-logo
Berita
Laporan: Pemimpin Umno minta RM98.3j 'bantu' lulus projek
Diterbitkan:  Mar 3, 2018 9:50 PM
Dikemaskini: 3:51 PM

Seorang pemimpin Umno menuntut AS$25 juta (RM98.3 juta) bagi mendapatkan kelulusan daripada timbalan menteri kewangan dalam cadangan urus niaga projek melibatkan dana Malaysia, menurut akhbar The Australian.

Laporan itu berkata seorang pemimpin Umno Selangor telah menghantar surat tuntutan kepada Nic Manikis, seorang penjawat awam kanan Australia yang bertugas selepas waktu kerja sebagai pembiaya kewangan antarabangsa dalam sebuah syarikat usaha sama milik seseorang yang didakwa sebagai penipu.

Laporan itu juga menyebut Manikis, melalui pegangan 90 peratus syarikat Ladylaw Securities melobi untuk meminjam AS$1 bilion (RM3.93 bilion) daripada dana milik awam bagi tujuan untuk melabur dalam hartanah di Australia serta syarikat usaha sama gas dan minyak di Kanada.

Manikis bersetuju membayar dua peratus daripada jumlah dana yang dikumpul itu kepada orang yang dapat membantu LadyLaw mengumpul wang tersebut daripada dana Malaysia, lapor The Australian.

"Saya katakan saya tidak kisah untuk membayar sebanyak dua peratus kepada sesiapa yang mengumpulkan dana itu.

Usaha kumpul dana gagal

"Saya bersetuju untuk hal itu dan ia pendekatan yang wajar," Manikis dipetik sebagai berkata.

Bagaimanapun, usaha pengumpulan dana itu gagal.

Namun, Manikis berkata pemimpin Umno tersebut masih menuntut bayaran dua peratus itu.

Setakat ini, dia telah menerima tiga surat tuntutan undang-undang, termasuklah satu syrat daripada peguam untuk pemimpin Umno itu yang bertarikh 18 Februari menuntut wang tersebut.

Laporan The Australian juga menyebut surat tuntutan undang-undang yang memetik 'suatu surat persetujuan daripada Timbalan Menteri Kewangan Malaysia untuk menyokong cadangan pelaburan yang disyorkan Ladylaw Securities.'

"Saya tidak menerima satu sen pun dari Malaysia.

Dana untuk beli hartanah

"Kepada orang-orang yang meminta komisen ini, saya ingin membalasnya, di mana wang itu?" Soalnya, petik akhbar itu.

Manikis berkata jika dia sudah mendapat AS$1bilion yang dicari itu sudah pasti beliau telah membayar komisen tersebut.

Buat masa ini, Malaysiakini tidak mendedahkan nama pemimpin Umno tersebut kerana sedang mendapatkan ulasan beliau.

Berdasarkan laporan itu lagi, pada awal tahun 2014, Ladylaw menghubungi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dengan cadangan meminjam AS$1 bilion.

Dalam cadangan itu, dana AS$1 bilion itu akan digunakan untuk membeli bangunan termasuklah pejabat yang menempatkan agensi kerajaan Australia serta ibu pejabat Qantas di Sydney, selain usaha sama minyak dan gas di Kanada.

Mesyuarat dengan pengurusan KWSP

"Dokumen yang didapatkan The Weekend Australian menunjukkan wakil Ladylaw termasuklah Mr Manikis, dijadualkan bermesyuarat dengan Felda dan Felcra pada April 2014.

"Manikis berkata beliau, rakan perniagaan dari Kanada dan seorang wakil Ladylaw bertemu dengan pengurusan KWSP di Kuala Lumpur pada Jun 2014," kata laporan itu.

Namun demikian, urusniaga itu tidak berjaya walaupun mendapat sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dakwa Manikis dalam laporan itu.

Laporan itu juga memetik seorang jurucakap kerajaan Malaysia yang berkata Najib dan pejabatnya tidak tahu atau pernah berhubungan dengan syarikat tersebut.

Jurucakap itu berkata dakwaan tersebut mungkin 'berita palsu' menjelang pilihan raya umum.

"Berdasarkan siasatan dalaman kerajaan, pihak pengurusan organisasi yang disebut itu - seperti Felda dan EPF - telah mengesahkan tidak pernah berurusan dengan syarikat ini atau individu terbabit," jurucakap kerajaan Malaysia dipetik berkata demikian.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas dari Pejabat Perdana Menteri.

Pada Rabu lalu, laman Sarawak Report menyorot cubaan untuk mendapatkan RM10 bilion dalam bentuk bon yang dimiliki KWSP kepada Limage Holdings, sebuah syarikat yang berpengkalan di Luxembourg dan pemiliknya Gyorgy Matrai yang pernah disabitkan kesalahan menipu di Switserland.

Bon tersebut didakwa untuk Matrai membantu mengumpul dana yang akan dikembalikan ke Malaysia bagi mendanai pilihan raya umum.

Sarawak Report turut menerbitkan surat yang menyebut penglibatan Ladylaw Securities dengan KWSP.

KWSP menyangkal laporan itu berkata, "penglibatan Ladylaw Securities Pte Ltd dan Nic Manikis dimaklumkan kepada KWSP pada 20 Januari, 2017, dan laporan polis dibuat pada 23 Januari, 2017, menyatakan KWSP tidak tahu menahu mahupun terlibat dalam mana-mana urus niaga pelaburan dengan Ladylaw Securities ataupun Nik Manikis."

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS