Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Anggota Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang diheret dalam kontroversi berkaitan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang, mahu membersihkan namanya daripada tuduhan menerima RM3 juta untuk kerja-kerja rundingan bagi projek berkenaan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Azeez berkata kontraktor bagi projek itu, Consortium Zenith Construction Sdn Bhd telah menarik balik surat tuntutan yang dihantar kepadanya pada 24 Feb.

"Kerana saya tidak bersalah, saya tidak menerima apa-apa wang dari Zenith, mereka bersetuju bahawa beberapa pihak telah menjual nama saya untuk mendapatkan wang itu," kata Azeez.

"Mereka telah menghantar saya sepucuk surat, yang saya terima semalam, untuk mengatakan mereka akan menarik balik surat tuntutan, dan mereka meminta maaf kepada saya mengenainya.

"Zenith juga menawarkan untuk membantu saya membersihkan nama saya, saya ucapkan terima kasih kepada mereka tetapi menambah saya akan mendapatkan nasihat undang-undang dari peguam saya dalam tindakan saya yang akan datang," katanya yang juga pengerusi Tabung Haji.

Bos Zenith enggan komen

Terdahulu, pada sidang akhbar yang diadakan di Kompleks Tabung Haji di Sungai Ara, Pulau Pinang, Azeez  berkata beliau mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap mereka yang memfitnah beliau, Umno dan Tabung Haji.

Beliau juga menunjukkan kepada media surat penarikan balik tuntutan berkenaan dan permohonan maaf oleh Zenith.

Ketika dihubungi, pasukan peguam yang mewakili Zenith enggan mengulas lanjut.

Ketua Pengarah Eksekutif Zenith, Zarul Ahmad Zulkifli pada masa ini masih bercuti dan ketika dihubungi, beliau enggan memberi komen mengenai perkembangan terkini dalam kes terhadap syarikat itu.

Azeez sebelum ini membuat laporan polis mengenai dakwaan beliau menerima RM3 juta daripada Zenith selepas menerima surat tuntutan kerana didakwa gagal mematuhi perjanjian yang ditandatangani pada Julai 2017.

Zenith juga telah mengeluarkan surat tuntutan kepada ahli perniagaan bergelar "datuk seri" - yang secara puratanya menerima RM19 juta dari firma itu apabila gagal menyelesaikan kerja-kerja rundingan bagi projek terowong terbabit.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan ahli perniagaan berusia 37 tahun itu untuk membantu siasatan berhubung projek terowong bernilai RM6.3 bilion, yang merangkumi tiga lebuh raya menghubungkan pulau itu ke Butterworth.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menegaskan projek itu "bersih" dan ia diserahkan kepada Zenith pada tahun 2013 melalui jawatankuasa tender terbuka, yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Farizan Darus.

Lim berkata beliau tidak mengetahui surat tuntutan berkenaan.

Beliau juga berkata Farizan telah menghantar surat rasmi kepada Zenith bagi meminta penjelasan mengenai surat berkenaan dan jumlah sebanyak RM22 juta yang dikatakan dibayar kepada "konsultan".

 

Lihat Komen
ADS