Paling Popular
Terkini

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Husam Musa membidas sindiran anggota parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dengan menyifatkan pemimpin PAS itu tidak faham hukum fikah.

Ia susulan kenyataan Husam berhubung isu 'hukum haram' mengundi PAS seperti dilaporkan Malaysiakini, semalam.

ADUN Salor itu berkata, sesuatu hukum dalam Islam boleh berubah mengikut keadaan dan perkara itu pernah ditegaskan bekas mursyidul am PAS, Allayarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Nampaknya Nik Abduh tak berapa faham masalah fikah, tahun 1974 apabila PAS bergabung dengan Umno, tok guru Nik Abdul Aziz ketika itu ketua dewan ulama PAS.

"Beliau panggil mesyuarat dan dewan ulama PAS pusat menfatwakan dan beri pandangan dari segi hukum syarak, bukan hukum tauhid.

"Keputusan PAS menyertai BN hukumnya harus ketika itu, kemudian PAS ditendang daripada BN dan orang tanya apa hukum jika PAS menyertai BN selepas ditentang. Tok Guru kata hukumnya haram," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, Nik Mohamad Abduh dalam satu tulisan di Facebook tanpa merujuk sebarang nama secara khusus tetapi jelas menyindir kenyataan Husam yang dibuat ketika berceramah di Kuala Krai, 3 Mac lalu.

"Bila dia keluar PAS, dia kata berdosa pangkah PAS. Dia ingat pahala ini ikuti dia ke mana saja dia pergi. Kesianlah juga kepada orang lain," kata Nik Mohamad Abduh.

Harus dan kemudiannya haram

Mengulas lanjut, Husam berkata, Nik Aziz pernah ditanya mengapa dulu PAS menyertai Umno hukumnya harus dan kemudiannya haram.

"Tok Guru jawab hukum itu boleh berubah dengan berubahnya keadaan. Hukum bukan berjalan sekali dengan parti, hukum berjalan mengikut keadaan waktu itu.

"Walaupun PAS dan BN masih sama tetapi keadaannya berbeza, masa itu PAS ada pengalaman sertai BN hukumnya harus, kemudian ada pengalaman ditendang dan (kalau) nak masuk sekali lagi hukumnya haram," katanya.

Menurut beliau, masalah dalam isu itu sepatutnya mengikut hukum syarak dan yang berlaku kepada PAS iaitu kekeliruan kerana mengambil pendekatan akidah.

"PAS dikatakan satu-satunya parti Islam yang sah, sesiapa yang keluar daripada PAS seperti keluar daripada Islam. Maka menolak PAS, mengundi selain daripada PAS menjadi kafir, munafik dan murtad.

"Itu pendekatan akidah, yang saya bincangkan ini pendekatan syarak iaitu hukum fikah, bukan pendekatan akidah," kata Husam.

Syarak tak terikat dengan parti

Tambah bekas naib presiden PAS itu, pendekatan syarak tidak terikat dengan parti, tidak terikat dengan siapa duduk di mana.

"Tetapi pada hari ini, dengan isu negara yang kita hadapi dan penyelewengan yang memberi kesan jangka panjang kepada kehidupan rakyat Malaysia dan kedaulatan negara, maka sebarang kerjasama dengan BN secara langsung atau tidak langsung adalah haram.

"Oleh kerana AMANAH dan Pakatan Harapan (HARAPAN) berada dalam fasa besar-besaran untuk membersihkan negara kita melakukan reformasi, maka mengundi AMANAH dan HARAPAN adalah berpahala. Untuk masa depan, mungkin hukumnya berbeza pula," katanya.

Bagaimanapun kata Husam, masalah penentuan hukum fikah ini tertakluk kepada perbincangan dan perbahasan.

"Tidak semestinya pandangan saya ini mutlak dan tidak semestinya pandangan PAS lebih betul.

"PAS masuk kampung keluar kampung beritahu kepada rakyat kalau mengundi selain daripada PAS membawa kepada murtad, kafir dan berdosa. Saya nak pecahkan minda (pegangan) itu, supaya orang PAS berfikir semula.

"Jadi kalau Nik Abduh sedia berbahas dan berdialog saya tiada masalah dan perkara ini patut diketengahkan kepada masyarakat sekarang," katanya.

Lihat Komen
ADS