Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Equanimity: FBI, polis Indonesia tak pernah hubungi kami, kata Fuzi

Polis Indonesia dan Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FB) tidak pernah menghubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mereka merampas kapal layar mewah Equanimity, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

"Tak ada, tidak (dihubungi FBI atau polis Indonesia).

"Pihak Indonesia pun tak pernah hubungi PDRM. Tak pernah," katanya ringkas pada sidang media di Bukit Aman pagi ini.

Fuzi dilihat enggan mengulas panjang isu tersebut yang mendapat liputan banyak media sejak Equanimity dirampas di Bali 28 Februari lalu.

Beliau menjawab soalan pemberita berhubung sama ada FBI atau polis Indonesia ada menghubungi PDRM bagi membantu mereka mencari kapal milik Jho Low itu.

Selain itu, ditanya status siasatan terkini 1MDB berikutan kapal mewah milik Jho Low ditahan pihak berkuasa Indonesia serta sama ada Jabatan Kehakiman (DOJ) ada menghubungi PDRM, Fuzi berkata beliau tidak boleh komen mengenai perkara itu.

"Tidak, tidak. Buat masa ini kami tidak menerima sebarang permohonan (dari DOJ) atau apa-apa berkaitan isu itu.

"Jadi, saya tak boleh komen lebih daripada itu," katanya lagi.

Ditanya mengenai status terkini Jho Low dalam siasatan 1MDB, Fuzi dengan ringkas berkata:

"Ini lagi saya tak boleh nak jawab."

Pada minggu lalu Malaysiakini melaporkan, kapal layar Euquinimity ditahan pihak berkuasa Indonesia atas permintaan FBI.

DOJ sebelum ini mendakwa Equanimity dibina dan diselenggarakan dengan menggunakan lebih daripada AS$250 juta (RM978 juta) yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

Dalam saman pelucuthakan sivil yang difailkan pada 16 Jun 2017, DOJ mendakwa wang itu dipindahkan ke sebuah akaun di Caledonian Bank di Kepulauan Cayman yang dipegang bawah nama "World View Ltd" dalam empat peringkat.

Menurut Timbalan Pengarah Jenayah Ekonomi dan Khas Indonesia Daniel Silitonga, pasukan pendakwa DOJ kini telah berada di Jakarta sejak seminggu lalu bagi menuntut kapal Equanimity.

"DOJ AS yang melakukan tuntutan itu kini berada di Indonesia untuk mengadakan penyelarasan undang-undang antara Indonesia dan AS," katanya kepada Malaysiakini.

Jho Low bagaimanapun melalui jurucakapnya menyifatkan DOJ bertindak keterlaluan kerana meneruskan pelucuthakan aset dan berkata dakwaan yang dibuat badan itu lemah dan bermotif politik.

Lihat Komen
ADS