Paling Popular
Terkini

WAWANCARA | Nampaknya tidak akan ada permohonan maaf daripada Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz kepada MCA - parti komponen utama BN.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Nazri mempertahankan kenyataannya terhadap parti itu dan menyifatkannya sebagai tanda "kematangan hubungan" di kalangan parti komponen BN.

"Saya hanya boleh melakukannya jika yakin apa saja yang dikatakan saya tidak akan menjejaskan hubungan persaudaraan kami," katanya merujuk beberapa pemimpin MCA yang kecewa dengan serangannya terhadap Tan Sri Robert Kuok.

Menurut Nazri yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, beliau sendiri akan marah jika orang yang tidak dikenali menggunakan kata-kata kasar terhadapnya, tetapi boleh menerimanya jika ia daripada rakan yang rapat.

"Jika anda tidak kenal mereka dan tiba-tiba anda berkata 'celaka' (bastard), tentulah mereka marah.

"Tetapi tidak dengan kawan-kawan: 'Celaka, kau nak pergi mana?' Beginilah saya dengan MCA," katanya yang jelas tidak terlalu risau akan ketegangan antaranya dengan MCA.

Menjawab tentang laporan kenyataannya terhadap Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan, Nazri berkata beliau hanya mengulas kenyataan Ong yang menurutnya tidak tepat.

"Saya tidak berkata (seperti yang didakwa Ong) dan beliau mengelirukan netizen.

"Saya hanya menjawab kenyataannya, kebetulan beliau adalah setiausaha agung MCA." Beliau bertegas ia harus dilihat sebagai pertikaian antara dua individu dan bukan dua parti politik.

Pada minggu lalu, Nazri memanggil Ong dengan gelaran "bodoh" kerana mengecamnya ekoran seruan agar Kuok yang merupakan individu terkaya di Malaysia melepaskan kerakyatan jika menyokong usaha mengalahkan BN.

Dengan pertikaman lidah yang berlanjutan, Pemuda MCA pada 3 Mac lalu mengadakan protes ketika sambutan ulang tahun ke-69 parti itu bagi mendesak permohonan maaf daripada Nazri.

Mereka antaranya mendesa Nazri memohon maaf atas "kenyataan biadabnya" terhadap Kuok selepas anggota parlimen Padang Rengas itu mencabar Kuok yang tinggal di Hong Kong untuk pulang ke Malaysia dan bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

"Dia tak payah jadi 'pondan', ayam betina hanya tahu berselindung di sebalik dinding dekat Hong Kong sana," katanya yang ketika itu menjawab soalan pemberita berhubung dakwaan penulis blog Raja Petra Kamaruddin bahawa Kuok memberikan dana kepada DAP untuk menjatuhkan BN.

Nazri bertegas beliau tidak akan memohon maaf kepada MCA, seperti mana beliau tidak memohon maaf kepada pihak lain yang mungkin terasa dengan kata-katanya sebelum ini.

"Jika saya minta maaf (kepada MCA) maka saya (juga) perlu minta maaf kepada ramai orang. Malah ada yang sudah meninggal dunia.

"Jadi tiada duluan untuk Nazri Aziz memohon maaf," katanya sambil menjelaskan kenyataannya sebelum ini tidak berniat peribadi.

Beliau juga berkata tidak kisah jika digelar sebagai "biadab" atau "kasar".

Sesuai dengan gaya lantangnya, Nazri berkata prinsipnya sepanjang 40 tahun dalam politik adalah sentiasa menghormati kebebasan bersuara dan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengannya boleh cuba mencari penyelesaian melalui proses undang-undang di mahkamah.

Beliau berkata tiada anggota MT Umno lain yang mempertahankannya dalam pertengkarannya dengan MCA, tanda kenyataannya adalah pandangan peribadi dan tidak disokong parti.

"Saya bukanlah seorang yang sofistikated. Ada orang kata saya ini menteri gangster. Beginilah diri saya."

Dalam petikan daripada wawancara eksklusif Malaysiakini ini, Nazri turut berkata tentang bagaimana beliau mendapat reputasi sebagai "menteri gangster" dan dinamik di sebalik hubungannya dengan MCA.

Ada yang tidak senang dengan bentuk kritikan anda, bukan sangat tentang kritikan itu sendiri. Misalnya pemilihan kata-kata ketika anda bercakap tentang seorang hartawan berusia 94 tahun dengan memanggilnya 'pondan'...Secara peribadi adakah anda merasakan ia perlakuan yang wajar bagi seorang anggota kanan parti pemerintah?

Saya sudah buat perkara sama terhadap (bekas perdana menteri) Mahathir (Mohamad). Beliau juga tua seperti Robert Kuok. Begitu juga dengan yang lain...Ada satu ketika (bekas menteri) Rafidah (Aziz) berkata "Nazri ini memang kurang ajar", ekoran kata-kata saya tentang (allayarham) Tun Ghaffar (Baba).

Sudah 19 tahun saya dalam kerajaan BN. Maka sebarang kritikan terhadap kerajaan, saya sebagai anggotanya pasti akan terasa. Maka ia hanya reaksi saya.

Dan apabila Robert Kuok sendiri mengeluarkan kenyataan, saya amat menghargainya. Saya berkata yang saya sangat gembira.

Jadi jangan salahkan saya...Saya hanya menjawab soalan yang ditanya wartawan...daripada akhbar yang melaporkan (dakwaan) blog Raja Petra dan sudah tiga hari (dakwaan itu) tidak dinafikan.

Saya bukanlah seorang yang sofistikated. Ada orang kata saya ini menteri gangster. Beginilah diri saya.

Jadi, tiada permohonan maaf (kepada MCA)?

Benar, kerana seperti yang saya katakan, tiada duluan yang menunjukkan saya perlu memohon maaf kerana bertindak 'kurang ajar'.

Ini hanya jenama saya...Bagi saya, tiada yang bersifat peribadi...Anda ada kedudukan anda, saya dengan kedudukan saya. Seperti bermain bola, pasukan anda dan pasukan lawan, selepas perlawanan anda bertukar jersi dan bersalaman.

Dan bila di luar stadium pula, anda tiada masalah untuk saling berbual.

Tetapi ada sedikit perbezaan di sini, Datuk Seri. Dengan menggunakan analogi bola sepak, MCA mendakwa anda menyerang pasukan sendiri, bukannya musuh.

Boleh anda periksa kronologi? Bukan saya yang (mula) menyerang MCA.

Jadi anda hanya bertindak balas?

Benar. Dalam Islam, kita tidak mengangungkan manusia maka budaya itu memang tiada dalam diri saya. Mana saya tahu Robert Kuok adalah ikon, berhala atau dewa mereka? Saya tidak tahu.

Bagaimana saya tahu hubungan antara mereka dengan Robert Kuok? Serangan itu tidak dimaksudkan kepada MCA. Jadi periksa balik kronologi.

Seterusnya: Mengapa orang bukan Melayu perlu mengundi MCA/MIC.

Lihat Komen
ADS