Seramai 949 pengundi tentera dan pasangan mereka diwartakan sebagai pengundi di kawasan Parlimen Segamat pada hari yang sama Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kes itu.
Perkara itu didedahkan oleh Michelle Ng, peguam mewakili 48 pengundi Segamat yang memfailkan semula cabaran mereka minggu lepas.
"Apabila Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan SPR pada 21 Februari, mereka mengumumkan 949 pengundi di kem tentera yang belum siap di sana sebagai pengundi (pada) hari yang sama keputusan itu.
"Oleh itu, Pejabat AG (peguam negara) menggunakan alasan-alasan ini untuk mencabar kami mendapatkan kebenaran memfailkan semakan kehakiman kerana Seksyen 9A Akta Pilihan Raya menetapkan bahawa apabila suatu daftar pemilih telah diwartakan, ia tidak boleh dicabar di mahkamah," katanya kepada pemberita.
Ng berkata mereka membantah hujah tersebut dengan mengatakan klausa itu boleh dicabar jika dapat ditunjukkan bahawa SPR dan pegawainya bertindak dengan tidak wajar.
Ini, katanya, berdasarkan keputusan baru-baru ini oleh Mahkamah Persekutuan mengenai penukaran agama sepihak dalam kes M Indira Gandhi, di mana fasal itu dicabar kerana Mahkamah Syariah didapati telah bertindak di luar bidang kuasanya.
