Anggota Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali, mengesahkan artikel pada 2015 bertajuk ‘Gagal Urus Belanja Negara, Rakyat Jadi Mangsa GST Zalim' adalah darinya dan bukan dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Katanya, artikel itu ditulis bagi memberitahu kepada rakyat mengenai ketirisan yang berlaku dalam kerajaan sehingga hutang negara terus meningkat.
Bagaimanapun terdapat kumpulan tertentu menyebarkan artikel itu menggunakan nama LHDN menyebabkan beliau dipanggil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), hari ini.
“LHDN buat aduan kepada SKMM dan saya dipanggil. Untuk itu saya sahkan ia adalah tulisan saya. Daripada sumber-sumber tulisan berasaskan sumber yang sahih. Tak ada kesilapan dalam data itu
“Siapa yang nak sebarkan itu silap mereka, tak ada kaitan dengan saya. Sepatutnya tak melibatkan diri saya kerana mereka sebarkan itu bukan salah saya,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Bendahari Dewan Ulama PAS itu turut berkata pihaknya tidak akan mengambil sebarang tindakan sebaliknya memang mahu artikel berkenaan disebarkan.
“Saya memang mahu artikel itu disebarkan. Kerana artikel itu untuk kepentingan rakyat. Saya tegaskan bahawa ketirisan dalam kerajaan menyebabkan kerajaan berhutang banyak sehingga memaksa kerajaan untuk cukaikan rakyat. Kita memang mahu sampaikan kepada rakyat,” katanya.
Berita Harian hari ini melaporkan Khairuddin dipanggil bagi membantu siasatan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Artikel itu disebar secara bermusim sejak 2015, termasuk melalui aplikasi WhatsApp dan platform media sosial kononnya daripada pihak LHDN.
Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN membuat penafian terhadap artikel yang mengaitkan LHDN pada 12 Oktober lalu.
Berikutan itu, aduan rasmi dikemukakan kepada Biro Aduan Pengguna SKMM.
