Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Air Kelantan Sdn Bhd (ASB) akan membuat siasatan dalaman bagi mencari dalang yang membocorkan dokumen projek Skim Bekalan Air Merbau Condong Fasa II (Pakej I) kepada pihak luar.

Pengerusi Lembaga Pengara AKSB, Datuk Hanifa Ahmad, berkata siasatan itu akan bermula esok bagi mencari jawapan bagaimana dokumen tender projek bernilai RM27.1 juta itu bocor.

"Saya minta pengurusan panggil pegawai-pegawai terlibat dengan projek ini untuk disiasat, kerana wujudnya pecah amanah.

"Tidak boleh (pegawai) keluarkan dokumen kepada pihak luar dengan maksud untuk menyulitkan AKSB dan kerajaan negeri Kelantan," katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Semalam, anggota dewan undangan negeri (ADUN) Salor, Husam Musa, membuat pendedahan mengenai projek bekalan air itu yang didakwanya menampakkan unsur mencurigakan.

Kata bekas exco kanan Kelantan itu, surat tawaran tender projek diberikan kepada Cdah Construction Jangka Prestasi JV pada 22 Januari 2015 sedangkan ketika itu syarikat berkenaan masih belum didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).


Baca Husam tunggu saman kerajaan Kelantan


Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan AKSB dengan alasan syarikat terbabit hanya “menukar nama”.

Sementara itu, Hanifa yang juga Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Kelantan berkata, pihaknya juga mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) datang untuk menyiasat perkara itu.

"Kalau SPRM mahu siasat saya persilakan, sebab projek ini bernilai RM27.1 juta. Kita boleh bekerjasama dan kemukakan dokumen-dokumen berkaitan," katanya.

Terdahulu, Husam yang juga naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata beliau tidak bercadang membuat laporan secara rasmi kepada agensi antirasuah berkenaan.

Kata Husam SPRM boleh memulakan tindakan dan menyiasat butiran yang didedahkannya itu tanpa perlu menunggu aduan dibuat secara rasmi.

Lihat Komen
ADS