Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ilham sertai politik hadir semasa dalam tahanan

WAWANCARA | Minggu lalu dikhabarkan Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah mempertimbangkan kemungkinan menyertai politik secara aktif.

Pagi semalam Maria akhirnya mengesahkan kemungkinan itu. Dia bakal menyertai pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang akan dilangsungkan tidak lama lagi.

Menurut Maria, idea itu sebenarnya muncul lebih setahun lalu iaitu ketika dia diletakkan dalam kurungan di ruang sempit tanpa tingkap dan tilam.

Maria ditahan di Bukit Aman antara 18 hingga 28 Nov 2016 semasa disiasat mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

Seksyen itu membabitkan tuduhan cubaan melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

"Saya berfikir, saya ada masa terluang. Idea itu timbul dan saya bertanya kepada diri sendiri: Bagaimana kita boleh mendesak supaya agenda reformasi dilaksanakan?

"Kita sudah mencuba, bukannya kita tak mencuba, dan bukan juga kita tidak mahu berunding dengan mereka (kerajaan).

"Kita cuba berbincang dengan mereka, kemudian kita membawa agenda itu ke jalan raya," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Maria ditemu bual di Petaling Jaya hanya beberapa jam selepas mengesahkan akan menyertai PRU ke-14 selepas mengetuai gerakan pendesak pembaharuan pilihan raya itu selama beberapa tahun.

Kata Maria protes BERSIH sebelum ini cukup besar dan jika di negara lain, perubahan sepatutnya sudah berlaku.


Baca Selepas bebas Maria terima peluru pula


Sebaliknya di sini, katanya, hanya sedikit perubahan yang terjadi.

"Jadi sekarang apa yang saya mahu lakukan ialah membawa suara kita ke parlimen dan kita lihat apa yang boleh kita lakukan.

"Saya tidak berjanji banyak. Ia seperti BERSIH apabila kita mencuba banyak benda.

"Ini adalah satu lagi landasan untuk kita mencuba idea-idea baru," katanya.

Sejak dibebaskan daripada tahanan, menurut Maria, dia membincangkan kemungkinan menyertai pilihan raya dengan rakan serta ahli keluarga.

Antara mereka ialah pengerusi BERSIH sebelumnya, Datuk Ambiga Sreenevasan, yang juga pernah memikirkan untuk menyertai politik bagi mendesak reformasi dilakukan di negara ini.

Semasa membuat pertimbangan itu, antara faktor yang membuat Maria ragu-ragu ialah hakikat gabungan Pakatan Harapan kini diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad.

Suami Maria, Allahyarham Yunus Lebai Ali, pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa Operasi Lalang dijalankan kerajaan pada 1987.

Dr Mahathir menjadi perdana menteri dan menteri dalam negeri ketika itu.

"Ya ia sangat sukar untuk berdamai kerana dia adalah orang yang menandatangani perintah tahanan berkenaan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS