Jabatan Perhutanan akan menambah senjata api bagi kegunaan anggota dan pegawai penguat kuasanya bagi memantapkan tindakan penguatkuasaan terutama untuk membanteras pencerobohan hutan di negara ini.
Ketua Pengarahnya Datuk Nor Akhirrudin Mahmud berkata setakat ini jabatan itu memiliki 106 senjata api yang dibekalkan kepada anggota penguat kuasanya di peringkat negeri.
"Penambahan jumlah senjata api bergantung kepada keperluan sesebuah negeri bagi penguatkuasaan undang-undang di negeri masing-masing," katanya kepada pemberita selepas merasmikam majlis pelantikan renjer hutan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daripada kalangan Orang Asli di Gua Musang semalam.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Azmy Yahya.
Nor Akhirrudin berkata setakat ini Jabatan Perhutanan Pahang dan Selangor paling banyak dibekalkan senjata api manakala negeri lain telah mengemukakan permohonan untuk penambahan.
"Senjata api ini hanya digunakan oleh pegawai dan pasukan tertentu mengikut keperluan dan tidak boleh menggunakannya secara sewenang-wenangnya," katanya.
Mengenai pelantikan renjer Hutan APM daripada kalangan Orang Asli, beliau berkata 39 Orang Asli di Gua Musang akan membantu pihaknya dalam meningkatkan penguatkuasaan terutama menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan haram yang berlaku di hutan sekeliling mereka.
Sementara itu, Azmy berkata Kelantan merupakan negeri kedua pasukan tersebut ditubuhkan selepas Pahang dan akan meneruskan penubuhan pasukan itu di negeri lain secara berperingkat bagi membantu Jabatan Perhutanan mengatasi pencerobohan hutan.
Sementara itu, Shaery Saidin, 19, berkata selain peluang pekerjaan, penubuhan pasukan itu membolehkan masyarakatnya mempelajari peraturan dan undang-undang berkaitan penjagaan hutan.
Beliau berkata mereka juga berpeluang melindungi hutan yang menjadi sumber rezeki mereka daripada dicerobohi pihak tertentu di samping menjaga alam semula jadi.
- Bernama
