Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi: Putrajaya ambil lagi pinjaman RM2b bagi projek 1MDB
Diterbitkan:  Mar 7, 2018 4:15 PM
Dikemaskini: 8:18 AM

Kerajaan terpaksa mengambil pinjaman RM2 bilion untuk membeli kepentingan 51 peratus dalam pembangunan projek Exchange 106, tapak tanah yang pada mulanya dijual oleh 1MDB kepada Kumpulan Mulia Indonesia, dakwa Naib Presiden, PKR Rafizi Ramli

Merujuk kepada " borang pendaftaran cagaran” yang difailkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (CCM), Rafizi berkata tanah tersebut dicagarkan sebagai ganti pinjaman RM2 bilion daripada HSBC Bank.

“Suntikan RM2 bilion dana yang diambil secara hutang dari bank dengan menggadaikan kepentingan kerajaan di dalam projek itu.

“Ini bermakna 1MDB terus mengambil hutang yang ditanggung oleh rakyat Malaysia.

“Ini bertentangan sekali dengan janji-janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kenyataan 1MDB kononnya hutang 1MDB akan dapat dilangsaikan tanpa mengheret rakyat Malaysia,” kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

Exchange 106 adalah sebahagian daripada projek pembangunan di Tun Razak Exchange, sebuah projek utama oleh 1MDB.

Bagaimanapun, berikutan masalah kewangan, pembangunan itu dipindahkan dari 1MDB kepada Kementerian Kewangan. 1MDB juga adalah entiti Kementerian Kewangan.

Kementerian Kewangan, dalam jawapan bertulis parlimen kepada Rafizi semalam, mengesahkan ia telah memperoleh 51 peratus pegangan dalam Mulia Property Development Sdn Bhd, syarikat yang mengawal-selia projek Exchange 106.

Walau bagaimanapun, ia tidak mendedahkan kos pemerolehan itu tetapi sekadar menyatakan bahawa ia adalah "kos asal".

1MDB dilaporkan menjual tanah seluas 3.4 hektar kepada Mulia Group untuk projek Exchange 106 pada harga RM665 juta.

Namun Rafizi mendakwa penjualan 1MDB kepada Mulia Group sebenarnya dibuat dengan potongan diskaun sebanyak 39 peratus, iaitu pada RM403.9 juta.

Lihat Komen
ADS