Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN I Dalam perundangan Islam ada banyak perkara yang dilarang (haram dan makruh) tetapi hukumnya sah. Maksud sah adalah hukum syarak mengiktiraf statusnya walaupun ia dilarang oleh agama.

Contoh mudah adalah talak / cerai. Agama melarang seseorang suami daripada menceraikan isterinya dalam beberapa keadaan, antaranya ialah sewaktu isterinya haid, nifas atau suci tetapi telah disetubuhi.

Talak yang dilafazkan oleh suami ketika isterinya dalam keadaan sedemikian diiktiraf sebagai sah di sisi majoriti ulama termasuk mazhab Syafie walaupun perbuatan itu diharamkan.

Amalan di mahkamah syariah sekarang, status mereka sebagai suami isteri akan ditentukan melalui kes mal (bidang kuasa mal) sama ada cerai tersebut sah atau tidak.

Apabila mahkamah memutuskan bahawa ia sah, suami tersebut kemudiannya akan dibicarakan dan jika bersalah boleh dikenakan denda dan / atau penjara atas kesalahan cerai luar mahkamah atau tanpa kebenaran mahkamah.

Pulau Pinang sebagai contoh mengenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara.

Begitulah juga murtad atau keluar dari Islam. Ia suatu jenayah terlarang tetapi sah apabila cukup segala syarat yang telah ditetapkan. Ia bermaksud, seseorang Muslim diharamkan keluar Islam atau diharamkan daripada melakukan perkara yang boleh membatalkan syahadahnya tetapi jika mereka melakukannya juga maka Islamnya terbatal.

Tidak seragam

Malangnya, enakmen / ordinan antara negeri-negeri di Malaysia tidak seragam dalam hal ini. Ada negeri yang memberikan kuasa kepada mahkamah syariah untuk membicarakan kes murtad / pengisytiharan bukan lagi orang Islam dalam bidangkuasa mal, pada waktu yang sama, menyediakan segala tatacara berkaitan termasuk istitabah (anjuran / perintah supaya bertaubat) dan juga hukuman.

Ada negeri tertentu, yang hanya memberi kuasa kepada mahkamah syariah untuk membicarakan kes ini tetapi tidak menjadikan murtad atau keluar Islam sebagai suatu jenayah / tiada hukuman disediakan.

Malah lebih teruk dari itu, ada negeri yang langsung tidak memberikan apa-apa kuasa kepada mahkamah syariah secara jelas sama ada untuk membicarakan kes bagi menentukan status agama seseorang atau menghukum mereka yang murtad.

Kuasa mahkamah syariah

Sepatutnya semua negeri di Malaysia memberi kuasa kepada mahkamah syariah untuk menentukan status agama seseorang dan pada waktu yang sama menghukum orang bersalah lantaran jenayah murtad.

Penentuan status agama seseorang adalah penting. Boleh rujuk penjelasan saya berkenaan kes Fatimah Tan. Ringkasnya ia berkaitan kewajipan mengkafirkan orang kafir. Terdapat banyak implikasi perundangan yang terlibat.

Kes Fatimah Tan ada sudut yang sama dan juga berbeza dengan kes 4 orang di Sarawak. Persamaannya ialah mahkamah syariah perlu ada kuasa untuk membicarakan semua kes murtad, status keislaman, pengisytiharan keluar Islam atau yang seumpamanya.

Mahkamah Syariah, jabatan agama atau mana-mana institusi terlibat tidak sepatutnya menolak permohonan dengan cara menyapunya ke bawah permaidani dengan alasan tidak boleh murtad tetapi tiada sebarang tindakan yang perlu dilakukan untuk menyelamatkan akidah pihak yang memohon.

Selamatkan akidah

Apabila ada permohonan yang difailkan di mahkamah syariah untuk keluar Islam atau menentukan status keislamannya, maka ini adalah peluang keemasan yang sepatutnya digunakan oleh pihak terlibat untuk mengumpul maklumat seterusnya mengambil tindakan yang perlu termasuk mengenal pasti kaedah terbaik untuk menyelamatkan akidah pihak terlibat dan juga mengenalpasti kelemahan jentera pihak berkuasa.

Jikalau akidah mereka dapat dipulihkan, maka ini adalah suatu kejayaan besar. Tetapi jika tidak dapat diselamatkan, maka pihak berkuasa mempunyai beberapa pilihan, termasuk, mengisytiharkan bahawa mereka bukan lagi orang Islam tanpa dikenakan sebarang tindakan atau ada hukuman yang disediakan untuk mereka.

Para fuqaha berbeza pendapat tentang status hukuman ke atas orang yang murtad. Ada di kalangan mereka yang berpendapat bahawa ia adalah hudud manakala sebahagian yang lain menghukumnya sebagai taazir.

Malangnya ada pihak tertentu apabila mereka berbicara tentang murtad, seolah-olah ia adalah hak asasi / kebebasan beragama. Sedangkan di dalam Islam ia adalah suatu jenayah. Malah ada yang kelihatan teragak-agak untuk mengatakan bahawa dalam Islam ada hukuman terhadap orang yang murtad sama ada ia taazir atau hudud.

Hukuman mati

Sebahagian orang Islam hari ini tidak berani untuk menyebut tentang hukuman mati terhadap orang yang murtad. Mungkin kerana ini jugalah menyebabkan pihak berkuasa sebilangan negeri tidak memperuntukkan sebarang hukuman terhadap orang yang murtad.

Bagi sebilangan orang, hukuman mati terhadap orang murtad adalah keterlaluan. Tetapi mereka mungkin lupa di Malaysia, kesalahan yang melibatkan dadah, culik, senjata api, memerangi YDPA, adalah antara kesalahan yang boleh dikenakan hukuman mati.

Jikalau kesalahan sesama manusia pun boleh dikenakan hukuman mati, maka sudah tentu kesalahan mempermainkan agama atau Allah dan Rasul lebih layak dan lebih utama untuk dikenakan hukuman seperti itu.

Uniknya ramai orang tidak menyedari bahawa kes-kes di mahkamah boleh berbeza di antara satu sama lain. Sekadar membaca tajuk akhbar tidak boleh menjadikan kita faham sesuatu yang kompleks dan komplikated. Sebagaimana kita tidak boleh memahami sesuatu penyakit dan rawatannya yang kompleks hanya sekadar melalui tajuk akhbar.

Kes Fatimah Tan adalah kes yang melibatkan syahadah yang tidak sah. Ini telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah. Manakala kes Syarifah Nooraffyzza Wan Hosen adalah seorang asal Muslim yang kemudiannya memeluk Kristian.

Sudah tentu berbeza antara keduanya. Namun begitu saya tetap berpendapat bahawa walaupun Syarifah Nooraffyzza dilarang keluar Islam tetapi dia tetap terkeluar daripada Islam jika cukup segala syaratnya.

Kerana itu, mahkamah syariah perlu ada kuasa untuk membicarakannya. Tujuannya agar akidahnya dapat diselamatkan dan dihukum jika perlu. Manakala tiga orang Sarawak yang lain, mereka adalah golongan muallaf yang telah kematian pasangan mereka atau telah berlaku perceraian.

Zalim jika dihukum

Perbicaraan di mahkamah syariah nanti dapat menentukan punca kenapa mereka bertindak sedemikian. Di sinilah pihak berkuasa boleh menentukan apa yang sepatutnya mereka lakukan. Adakah sama seperti Fatimah Tan, iaitu syahadah yang sia-sia, atau mereka telah sah sebagai Muslim tetapi mereka diabaikan oleh saudara Muslim yang lain atau mereka sengaja mempermainkan agama.

Jika sekiranya seorang muallaf yang ingin keluar Islam disebabkan mereka diabaikan oleh pihak berkuasa atau saudara seIslam yang lain, adalah suatu kezaliman jika mereka dihukum.

Sepatutnya orang Islam atau pihak berkuasa terlibatlah yang dihukum kerana mengabaikan golongan muallaf ini. Manakala, jika terbukti mereka sengaja mempermainkan agama Islam, maka mereka perlu dihukum sebagaimana beberapa individu yang pernah ditangkap dan dihukum kerana mempermainkan YDPA, PM dan isteri PM.

Jika mempersendakan pemimpin dan isteri pemimpin boleh dikenakan tindakan, apatah lagi mempersendakan agama, Allah dan rasul.

Dilema mahkamah syariah

Cuma dilema yang ada di mahkamah syariah sekarang ialah jika mereka mengisytiharkan seseorang itu telah murtad maka dengan sendirinya mahkamah tiada lagi bidangkuasa untuk membicarakannya sebab individu terlibat bukan lagi orang Islam.

Maka saya mencadangkan agar bidang kuasa mahkamah syariah diperkukuhkan untuk bukan sahaja merangkumi orang Islam, malah termasuk juga orang murtad atau bukan lagi orang Islam. Tujuannya agar syariat Islam dapat ditegakkan.

Ringkas dan mudahnya, saya ingin menekankan perlunya kita berbicara kes murtad dengan nada ia adalah jenayah yang bukan sekadar perlu dihukum malah perlu dirawati termasuk dengan menggunakan kasih sayang dan menjaga kebajikan pihak terlibat. Fakta setiap kes sudah tentu ada yang berbeza, maka ia perlu dibicarakan dan diputuskan mengikut fakta kes.

Akhir sekali berkenaan dengan tuduhan bahawa saya membela orang yang murtad. Saya maafkan mereka. Mereka tidak tahu perkara sebenar. Begitulah nasib sebahagian peguam.

Ketika mengendalikan kes perceraian, kami dituduh “peruntuh rumah tangga orang”. Ketika mewakili tertuduh dalam kes rogol, kami dituduh “menolong membebaskan perogol” dan begitulah seterusnya.

Mereka tidak faham tugas peguam sebagai "officer of the court". Antara lain, bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan dan hak setiap pihak terlibat terpelihara dalam perbicaraan. Manusia ini berbeza tahap keilmuan dan kepakaran masing-masing. Hikmahnya adalah untuk saling lengkap melengkapi di antara satu sama lain.

Saya percaya bahawa pihak yang membuat tuduhan ini tidak pernah berada di dalam fakulti undang-undang apatah lagi mempunyai dua ijazah dalam undang-undang sivil dan undang-undang Syariah. Mereka perlukan masa untuk memahami dengan baik isu ini.

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ali-Imran: ayat 8.


AHMAD JAILANI ABDUL GHANI seorang peguam dan pendakwah.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS