"Kerajaan Persekutuan tak pernah pinggirkan kaum India. Dari dulu banyak yang dibantu. Buktinya, saya tetap diberi kad pengenalan walaupun terpaksa menunggu lebih 30 tahun," kata P. Janargy.
P. Janargy, 66, seorang pekerja ladang getah dekat sini merupakan antara 16 penerima dokumen pengenalan diri di Selangor hari ini yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatannya ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Batang Kali, di Hulu Selangor.
Usaha penghasilan dokumen pengenalan diri itu dilakukan oleh Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic), sebuah unit di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Menurut Janargy, kelewatannya mendapatkan kad pengenalan itu disebabkan semua maklumat sah kedua ibu bapanya telah hilang sekitar tahun 60-an namun Kerajaan Persekutuan tidak pernah menyisihkan kewarganegaraannya.
Ini kerana, katanya, walaupun maklumat permohonan tidak lengkap, namun agensi terlibat terus membantu dalam apa jua cara bagi mengumpul maklumat dan bukti bahawa beliau serta ibu bapanya adalah warganegara yang sah.
"Surat beranak dan maklumat ibu bapa semua hilang. Itu sebab saya susah mahu dapat kad pengenalan. Banyak kali sudah mohon (kad pengenalan) tapi sebab tak cukup maklumat maka kena tunggulah dan sementara itu, saya memegang kad penduduk tetap warna merah.
Saya tak kisah pun lambat, yang penting saya ada kad pengenalan. Ini bermakna saya warganegara yang sah dan boleh mohon kerja, BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) atau lain-lain perkara," kata Janargy dengan penuh gembira kepada Bernama, di Hulu Selangor hari ini.
Sependapat dengan Janargy mengenai keprihatinan Kerajaan Persekutuan, seorang lagi warga emas, R. Angamah, 66, turut bersyukur apabila dua cucu lelakinya yang lewat mendaftar kelahiran diberi kad pengenalan dan surat kelahiran.
Beliau berkata tempoh waktu yang singkat untuk mendapatkan dokumen itu juga menyenangkan pihaknya untuk melakukan sebarang urusan bagi kedua-dua cucunya berumur 14 dan 12 tahun.
Sambil menyelar dakwaan pihak tertentu yang sering menuduh Kerajaan Persekutuan meminggirkan kaum India, Angamah berkata "kalau kami disisih, bagaimana kami boleh diberi kad pengenalan dan pelbagai bantuan lain?".
Bagi Izzati Muhd Sani, 23, pula beliau amat gembira apabila anaknya, Muhammad Ariff Nazmin, setahun dua bulan, mendapat sijil kelahiran walaupun lewat berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Sambil memuji kecekapan JPN, beliau berkata sijil lahir anaknya diproses hanya dalam tempoh enam bulan dan ia akan memudahkan pendaftaran persekolahan kanak-kanak itu nanti. -Bernama
