Berita Malaysiakini

'Rakyat Johor perlu lihat dulu krisis air di S'gor'

Shakira Buang  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PARLIMEN I Rakyat Johor harus melihat krisis dan kenaikan tarif air di negeri ditadbir Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum menerima tawaran air percuma di negeri itu.

Anggota Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad, berkata krisis air di Selangor berlaku disebabkan kelemahan pengurusan setelah dasar air percuma dilaksanakan bekas menteri besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Masalah yang berlaku di Selangor adalah kerana mereka tidak mempunyai sistem yang betul, terlalu banyak manipulasi dan terlalu banyak isu, mereka tak tahu apa yang berlaku dan kenapa mereka tak cuba selesaikannya?" katanya ketika ditemui di parlimen.

Shahrir berkata demikian ketika mengulas tawaran HARAPAN Johor yang menjanjikan air percuma untuk penduduk negeri itu jika mereka memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Mengulas lanjut, Shahrir berkata pandangan Khalid mengenai penstukturan air di negeri itu perlu diambil kira.

“Cuba lihat di Pulau Pinang, air mahal dan (tapi) percuma bila di Selangor apabila ia diimplementasikal oleh Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Cuma bila dah diimplementasikan, ia harus dijaga dengan baik. Tapi tidak, sebab itu sekarang ia dalam keadaan bermasalah dan menjadi isu besar di Selangor,” katanya.

Baru-baru ini sejumlah 427 kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air sejak 6 Mac lalu dan dijangka berterusan hingga hujung minggu ini.

Menurut Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), gangguan berpunca daripada kerja pembaikan terhadap Sistem Mampatan Udara yang pecah di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3.

Sementara itu, anggota parlimen Simpang Renggam Datuk Liang Teck Meng menyifatkan tawaran air pecuma HARAPAN Johor hanyalah pendekatan populis.

"Mereka ambil pendekatan populis, kalau boleh petrol pun nak bagi percuma, dulu pun PTPTN nak mansuhkan tapi mustahilkan?" soalnya.