Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Visa pelajar boleh diperoleh dalam tempoh 7 hari
Diterbitkan:  Mar 8, 2018 5:46 PM
Dikemaskini: 9:52 AM

Pelajar dari luar negara boleh mendapat visa mereka yang lengkap dalam tempoh tujuh hari.

Pengarah Bahagian Visa, Pas dan Permit Jabatan Imigresen Mohd Fardi Ahmad berkata bilangan hari itu telah berkurangan berbanding 19 hari sebelum ini.

“Para pelajar boleh memuat turun Surat Kelulusan Visa (VAL) pada hari yang sama ia dikeluarkan, menjimatkan tiga hingga enam minggu waktu penghantaran untuk mengepos atau kurier dokumen salinan keras kepada para pelajar di negara mereka,” katanya.

Satu lagi langkah yang diambil Imigresen adalah memperkenalkan e-Visa kepada para pelajar dari 10 negara iaitu China, Myanmar, India, Sri Lanka, Nepal, Bangladesh, Pakistan, Bhutan, Serbia dan Montenegro pada Ogos tahun lepas.

“Para pelajar dari 10 negara ini boleh memohon secara dalam talian untuk visa masuk tunggal selepas menerima VAL. Semua permohonan diproses dalam tempoh 48 jam, menjadikannya lebih pantas dan mudah bagi para pelajar untuk memulakan perjalanan bagi pendidikan ke Malaysia,” katanya.

Status dan kemajuan permohonan itu juga boleh dikesan melalui Sistem Permohonan dan Pendaftaran Pelajar dengan memasukkan nombor pasport dan warganegara pemohon.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS) Datuk Rujhan Mustafa berkata kerjasama di antara EMGS dan Imigresen adalah untuk mencapai sejumlah 200,000 enrolmen pelajar asing menjelang tahun 2020.

“Satu daripada halangan utama bagi para pelajar asing untuk belajar di Malaysia adalah kerana proses mendapatkan dokumentasi yang diperlukan. Namun kini, semuanya boleh dilakukan dengan pantas secara online,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagi mencapai sasarannya menjelang 2020, EMGS telah mensasarkan Indonesia dan China sebagai penyumbang terbesar bagi pelajar asing diikuti Timur Tengah, Asia Tenggara dan Asia Tengah,.

Jabatan Imigresen telah memberi jaminan semua permohonan akan disemak secara menyeluruh untuk tujuan keselamatan sebelum kelulusan diberikan.

Selain itu, EMGS bersama -sama dengan Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mewujudkan Sistem Pengiktirafan Akademik Multinasional (MARS), satu pangkalan data pusat bagi semua sijil dan transkrip akademik yang dikeluarkan bagi mengelak penipuan.

“Ini merupakan rujukan penting terutama apabila para pelajar memohon untuk menyambung pengajian ke peringkat seterusnya,” katanya.

EMGS adalah syarkat milik penuh Kementerian Pengajian Tinggi dan merupakan pintu masuk rasmi bagi para pelajar asing untuk menuntut di Malaysia.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS