Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Warga asing mula ambil alih premis perniagaan di KT
Diterbitkan:  Mar 9, 2018 7:11 AM
Dikemaskini: 11:23 PM

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bercadang mengenakan lesen kepada pengusaha 'trak makanan' bagi memastikan perniagaan itu dijalankan sepenuhnya oleh warga tempatan.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Samiun Salleh berkata langkah itu sejajar dengan usaha MBKT menangani masalah 'limpahan' warga asing yang dilihat mula mengambil alih peniaga tempatan di premis-premis perniagaan di bandar raya ini terutama di kawasan Terminal Bas Ekspress Kuala Terengganu.

"Perniagaan berbentuk 'karavan', lori atau trak, roda tiga, malah penjaja kaki lima pun...ini yang kita cuba lesenkan supaya kita boleh mengawal perniagaannya...jika langgar peraturan lesen kita boleh ambil tindakan.

Sebab kita tak mahu ada warga asing yang turut berniaga di trak makanan ini. Setakat ini ada 35 trak yang mendaftarkan perniagaan mereka (di bawah persatuan trak makanan) dan belum ada lagi warga asing yang kita lihat terlibat dalam perniagaan ini," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu semalam.

Katanya, perlesenan mungkin dilakukan di bawah Undang-Undang Kecil Perlesenan Penjaja.

Samiun mengulas isu kebanjiran peniaga asing di bandar raya ini yang dilihat bebas menjalankan perniagaan meskipun MBKT sebelum ini telah menyatakan mereka tidak pernah mengeluarkan sebarang permit terhadap peniaga warga asing bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan di situ.

Sebelum ini, peniaga tempatan di bandar raya ini merungut kerana kebanjiran warga asing terutama Bangladesh dan Indonesia menjalankan pelbagai jenis perniagaan di bandar raya ini melibatkan premis MBKT dan persendirian.

Samiun berkata, MBKT sukar menangani isu penyalahgunaan premis perniagaan kerana kebanyakan premis memiliki lesen perniagaan yang sah dan tiada tindakan dapat dilakukan terhadap warga asing yang menjalankan perniagaan di premis tersebut.

"Bila kita buat siasatan, kita tak boleh nak ambil tindakan sebab lesen pemilik adalah sah dan ia tidak boleh dipindah milik kepada orang lain.. mungkin kedai itu pemilik menyewakannya kepada warga asing (untuk mereka berniaga)... ini mungkin premis persendirian.

"Jika premis MBKT, kita akan ambil tindakanlah... tarik balik lesen dan bagi pada mereka yang betul-betul mahu berniaga sebab kita bagi mereka berniaga untuk tunaikan tanggungjawab sosial kita membantu rakyat, tapi mereka serah pula pada pihak lain (warga asing) dan ini tidak adil kepada orang yang betul-betul nak berniaga," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS