Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak usaha Selangor ketepi penangguhan
Diterbitkan:  Mar 9, 2018 12:55 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Inkuiri setempat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Selangor boleh diteruskan.

Ini susulan tiga panel hakim Mahkamah Persekutuan hari ini menolak memberikan kebenaran kepada kerajaan Selangor untuk merayu bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan bagi mengetepikan penangguhan bagi menyekat SPR menjalan inkuiri setempat, sementara menunggu pendengaran rayuannya.

Panel yang diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif sebulat suara menolak kebenaran itu tanpa membuat arahan kos.

“Kami buat keputusan sebulat suara, kerana kemungkinan besar tiada peluang untuk rayuan itu berjaya,” kata Raus.

Sementara itu, Bernama melaporkan pada 7 Disember tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan kerajaan Selangor untuk mencabar persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri itu.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan membenarkan permohonan kerajaan negeri untuk menggantung proses inkuiri tempatan bagi kawasan Parlimen dan DUN Selangor sementara menunggu rayuan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Pada 8 Dis, SPR memfailkan permohonan bagi mengetepikan perintah penggantungan itu.

Pada 18 Dis, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1, membenarkan permohonan SPR dan mengetepikan perintah penggantungan sementara itu, menyebabkan kerajaan negeri mengemukakan permohonan di Mahkamah Persekutuan.

Peguam Datuk S. Ambiga, yang mewakili kerajaan Selangor berhujah SPR mempunyai tempoh sehingga September tahun ini untuk melengkapkan proses persempadanan semula itu.

Beliau berkata perintah penggantungan itu harus dikekalkan untuk mengekalkan status quo sehingga selesai rayuan kerajaan Selangor di Mahkamah Rayuan yang ditetapkan pada 23 Mac.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching berkata SPR tidak boleh dihalang daripada menjalankan tugas perlembagaannya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS