KATA MP l Dalam artikel yang ditulis oleh Samantha Chiew di theedgesingapore.com. pada 2 Mac lalu, penulis menyatakan bukan sahaja kapal layar mewah" Equanimity" bernilai AS$250 juta yang dikatakan milik Low Taek Jho atau Jho Low dan dibeli dengan wang 1MDB yang dirampas oleh pihak berkuasa negara luar Malaysia.
Menurut Samantha, pada bulan Februari lalu, jet peribadi Bombardier Global 5000 bernilai AS$35 juta yang juga katanya milik Low juga telah dirampas ketika jet itu diparkir di Lapangan Terbang Seletar, Singapura.
Dalam kedua-dua rampasan itu (kapal mewah dan jet peribadi ), Low tiada di tempat kejadian.
Menurut Samantha juga, kapal layar mewah "Equanimity" telah dikurniakan award "Best in Show" dalam Monaco Yatch Show pada tahun 2014.
Kedua-dua aset mewah ini adalah sebahagian daripada aset yang diburu oleh Jabatan Keadilan (DoJ), Amerika Syarikat. Untuk rekod, pegawai tinggi 1MDB dan rakan mereka (their associates) telah dikatakan merompak (stolen) wang sebanyak lebih kurang AS$4.5 bilion.
Sikit tentang kapal Equanimity. Menurut media - Jakarta Globe, pada 21 Februari lalu, Bareskrim Polri telah terima surat dari FBI dengan permintaan untuk rampas kapal layar mewah itu .
Maklumat itu diberitahu kepada media itu oleh jurucakap polis, Brig Gen Muhammad Iqbal Abduh. Iqbal juga kata penyiasatan awal oleh FBI mendapati kapal layar mewah itu ada kaitan dengan skim penggubahan wang haram antarabangsa.
Dikatakan juga kaptel kapal itu - Kapten Rolf telah mematikan sistem automatik pengesan beberapa kali ketika melalui perairan di sekitar Singapura dan Filipina bagi elak dikesan. Kapal mewah itu juga hanya dirampas setelah ada perintah mahkamah dari Denpasar.
Dan antara harta atau aset lain yang juga telah dirampas adalah permata hiasan (jewellery) bernilai UAS$8.1 juta yang Low berikan sebagai hadiah kepada model antarabangsa Miranda Kerr bila mereka berpacaran pada tahun 2014.
Low dikatakan beri Miranda 18 carat set permata hiasan berwarna putih yang mengandungi rantai leher, sepasang anting-anting, bracelet dan cincin.
Jho Low juga telah beri hadiah mewah kepada pelakon Hollywwod, Leornardo Dicaprio yang juga dibeli dengan duit 1MDB.
Hadiah mewah itu merangkumi poster lithograph yang direka oleh artis Jerman, Heinz SchulzNewdamm bernilai AS$1.2 juta yang mana poster itu telah digunakan dalam filem senyap (silent film) pada tahun 1927 "Metropolis Morte au Crane de Taureau".
Low juga dilaporkan telah beri DiCaprio hadiah lukisan mewah karya Pablo Picasso bernilai AS$3.28juta, fotograf Diane Arbus yang diberi nama "Boy with the Toy Hand Grenade” bernilai AS$750,000 dan "collage" by Jean-Michel Basquiat bernilai AS$9.19 juta. Dilaporkan DiCaprio telah melalui wakilnya, menghubungi DoJ untuk pulangkan semula setiap hadiah yang ada kaitan dengan wang 1MDB itu.
Low juga beri " hadiah" pada diri dia sendiri , menggunakan wang 1MDB iaitu karya masterpiece Van Gough "La Maison de Vincent a Arles" bernilai AS$5.48juta. Begitu juga dua lukisan karya Monet - yang telah dirampas oleh pihak berkuasa Switzerland.
Di Singapura, aset bernilai AS$177 juta juga telah dirampas oleh pihak berkuasa di negara itu. Ia termasuklah dua apartment mewah di TwentyOne Angullia Park di Orchard Boulevard yang dibeli pada tahun 2013 pada harga dolar Singapura 54 juta. Juga dibeli triplex penthouse bernilai S$42.9 juta.
DoJ kini dalam proses untuk rampas pula kepentingan Low di Electrum. Melalui syarikatnya Jynwel Capital, Low didakwa telah melencongkan (diverted) AS$150 juta daripada pengeluaran bond 1MDB pada tahun 2012 untuk membolehkan beliau ada kepentingan di dalam Electrum Group.
Berdasarkan maklumat di atas, tolong jawab pada saya macam mana kami (Ahli parlimen Pakatan Harapan) tak meradang dan naik angn bila soalan kami tentang 1MDB kena tolak dalam Parlimen.
Selepas itu ada pula ahli parlimen BN yang dok pulun bela 1MDB, bela Jho Low dan bela MO1.Yang lebih teruk lagi ada juga yang kata mana ada isu ini melibatkan duit rakyat!
Yang lagi saya naik angin bila Pak Lebai boleh selalu berkecuali dalam Parlimen, tak bernafsu sangat nak lawan 1MDB , kata saman DoJ adalah campurtangan asing, selalu ponteng Parlimen dan dalam dua jam sahaja boleh puas hati bila dengar taklimat dari orang kuat 1MDB.
Allah lebih tahu.
MOHAMED HANIPA MAIDIN adalah seorang peguam dan anggota parlimen Sepang yang kini mewakili parti AMANAH.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.