Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gunung Kinabalu dibuka untuk pendakian esok
Diterbitkan:  Mar 9, 2018 7:03 PM
Dikemaskini: 11:13 AM

Tiada kerosakan pada laluan puncak Gunung Kinabalu dan aktiviti pendakian dibuka semula kepada orang ramai esok selepas ditutup sementara malam tadi susulan kejadian gempa bumi, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun.

Katanya, pasukan peninjau terdiri daripada 47 orang yang melakukan pemeriksaan hari ini hanya mendapati kerosakan kecil pada laluan tersebut.

"Tinjauan bermula dari Pondok Timpohon ke Kemuncak Low di kilometer 8.72 (4,095 meter dari paras laut). Bangunan penginapan di kawasan Panalaban juga tidak terjejas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Masidi, pasukan peninjau itu disertai wakil Taman-Taman Sabah, malim gunung, Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (Mosar), porter gunung, Sutera Sanctuary Lodges (SSL) dan Mountain Torq.

Beliau berkata malam ini, Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Jamili Nais bersama sembilan stafnya, anggota Mosar dan staf SSL akan bermalam di kawasan Panalaban (3,272 meter dari paras laut) sebagai langkah tambahan untuk memastikan keadaan telah kembali selamat.

Gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter menggegarkan Ranau dan beberapa kawasan di pantai barat Sabah pada 9.06 malam tadi.

Seramai 239 orang, termasuk 130 pendaki berada di Panalaban ketika kejadian dan dibawa turun dengan bantuan Mosar dan malim gunung.

Sementara itu, kerajaan Sabah akan terus memantau rapi setiap perkembangan semasa susulan gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter menggegarkan Ranau dan beberapa kawasan di Pantai Barat Sabah pada 9.06 malam tadi.

Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman berkata langkah menghentikan sementara aktiviti pendakian Gunung Kinabalu adalah satu keputusan terbaik sehingga keadaan benar-benar pulih.

"Kita bersyukur kerana kesemua pendaki dan petugas dapat turun dengan selamat dan tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Musa berkata jabatan dan agensi berkaitan juga sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan demi memastikan keselamatan orang awam dan harta benda khususnya di kawasan berisiko.

"Orang ramai tidak perlu panik dan boleh menjalankan aktiviti harian seperti biasa," katanya.

Sementara itu, penduduk kampung di kaki Gunung Kinabalu bersyukur tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan susulan gempa bumi yang melanda Ranau malam tadi.

Malah, rata-rata mereka berpendapat gempa bumi itu tidak mungkin akan membawa sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda seperti yang berlaku pada 5 Jun 2015, yang meragut 18 nyawa dan menyebabkan kerosakan pada bangunan serta infrastruktur.

Khajili Sumail, 44, dari Kampung Mesilou di sini berkata gegaran malam tadi tidak sekuat yang berlaku hampir tiga tahun lepas, namun, tindakan utama penduduk kampung ialah berkumpul di sebatang jalan dan memantau sungai di kampung itu.

“Memang kami rasa takut dan cemas, tetapi kami sudah merasa gegaran yang lebih kuat lagi pada 2015. Jadi, kami telah bersedia.

“Kami memantau sungai agar tiada batu yang runtuh dari gunung ke Sungai Mesilou dan menyekat aliran sungai, bagaimanapun ada runtuhan batu dari gunung ke sungai berdasarkan bau belerang,” kata anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) itu kepada Bernama ketika ditemui di kampung itu hari ini.

Pemilik sebuah inap desa di kampung itu Sanoman Masidin, 47, berkata beliau bertindak menghubungi seorang daripada tetamu inap desanya D’s Homestay Mesilou dan memastikan tetamunya itu dalam keadaan selamat.

Katanya, tetamunya Nurul Syahida Mahamud, 33, dan keluarga hampir mahu meninggalkan inap desa itu selepas merasai gegaran, tetapi berjaya dipujuk oleh Sanoman.

“Saya menenangkan mereka dan memberitahu gegaran biasa berlaku di Kundasang dan beliau serta keluarga terus bermalam di inap desa saya sehingga hari ini,” katanya, sambil menambah inap desa yang merupakan dua unit rumah itu tidak mengalami kerosakan teruk.

Nurul Syahida mengakui keluarganya tergerak untuk kembali ke Kota Kinabalu susulan gempa bumi itu.

Kakitangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah yang berasal dari Terengganu itu berkata hasrat keluarganya untuk ke Sandakan pagi ini pastinya batal jika beliau dan keluarga kembali ke Kota Kinabalu malam tadi.

Nurul Syahida turut memberitahu terdengar bunyi batu jatuh seperti bergolek dari arah gunung, tetapi tidak sehingga boleh menyebabkan kerosakan atau kecederaan.

Beliau berkata beberapa gegaran susulan turut dirasai, namun tidak sekuat yang pertama.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib  Razak berkata kerajaan akan memastikan bantuan sentiasa tersedia berikutan gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter menggegarkan Ranau, Sabah malam tadi.

"Terima berita gempa bumi di Ranau, saya dimaklumkan setakat ini tiada laporan kecederaan.

"Saya harap semua di kawasan terkesan ambil langkah berjaga-jaga, kerajaan akan pastikan bantuan sentiasa tersedia," katanya menerusi catatan di laman Twitter beliau, hari ini.

Jabatan Meteorologi dalam kenyataan semalam memaklumkan gempa bumi sederhana berlaku di Ranau pada 9.06 malam di lokasi 6.1 utara dan 116.6 timur namun tiada ancaman tsunami.

Antara kawasan yang turut terkesan dengan gegaran tersebut ialah Kota Kinabalu, Kundasang, Penampang, Tuaran, Kudat dan Kota Marudu.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah hari ini, operasi menyelamat yang dijalankan di Gunung Kinabalu tamat kira-kira pukul 4.30 pagi melibatkan 239 orang, termasuk 130 pendaki di Laban Rata Resthouse di Panalaban pada ketinggian 3,272 meter dari paras laut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS