Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bandar Tun Razak: Umno harap MCA berkorban demi BN

Di atas kertas, Bandar Tun Razak - yamg terletak di selatan Kuala Lumpur - menjadi peluang terbaik MCA untuk membuat kemunculan semula di ibu negara sejak tahun 2008.

Walaupun tewas,  Tan Kok Eng dari MCA, meraih lebih banyak undi di Bandar Tun Razak daripada gabungan undi tiga rakan-rakannya dari MCA di Seputeh, Bukit Bintang dan Cheras semasa pilihan raya 2013.

Tetapi bagi Umno tempatan, prestasi masa lalu MCA tidak secara automatik melayakkan parti itu untuk bertanding semula.

Dalam temu bual baru-baru ini dengan Malaysiakini, Ketua Umno Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar berkata sebabnya adalah mudah: Bandar Tun Razak adalah kawasan majoriti Melayu dan orang Melayu lebih suka untuk menyokong calon Melayu.

Parti pembangkang utama dilihat telah mengamalkan logik ini sejak tahun 1999 dan telah meletakkan calon Melayu setiap kali menentang calon dari MCA.

"Ini kerana sentimen tempatan, penduduk tempatan mahu calon Melayu bertanding di kerusi majoriti Melayu. Umno mempunyai peluang yang lebih baik berbanding dengan MCA.

"Kami telah memberikan kerusi itu kepada MCA dalam lima pilihanraya umum lalu, ia kalah dalam dua yang paling akhir," katanya.

'Jika Umno menang, MCA juga dapat faedah'

Oleh itu, Rizalman percaya bahawa MCA perlu memberi laluan kepada Umno kali ini.

"Selagi parti BN menang, yang lain juga akan mendapat manfaat, jadi mereka perlu berkorban," kata Rizalman (foto).

Rizalman, 46, telah berusaha untuk melobi kepimpinan Umno untuk meyakinkan MCA untuk berbuat demikian.

Tetapi setakat Februari, presiden MCA, Liow Tiong Lai berkata, tidak ada perbincangan antara Umno dan MCA mengenai sebarang pertukaran kerusi.

Bandar Tun Razak telah lama dikenali sebagai kubu kuat bekas naib presiden MCA, Tan Chai Ho (bapa Kok Eng) yang menangkan BN dengan majoriti selesa sejak 1995.

Berdasarkan data dari pilihan raya umum lepas, pecahan pengundinya ialah 53 peratus Melayu, diikuti orang Cina (37 peratus) dan kaum India (9 peratus).

'Saya boleh bantu Najib'

Ahli Parlimen sekarang ialah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang dipecat daripada PKR pada 2014. Beliau dijangka tidak akan bertanding kali ini.

Laporan media  menyebut bahawa MCA akan menimbang memberi laluan kepada Umno, dengan syarat presiden Persatuan Badminton Malaysia, Datuk Norza Zakaria dicalonkan.

Bagaimanapun, Norza memberitahu Malaysiakini bahawa laporan itu adalah "berita palsu" dan berkata fokusnya adalah pada bidang sukan.

Ketika dihubungi, ketua bahagian MCA tempatan, Chew Yin Keen (gambar), yang dilaporkan sebagai calon parti itu bagi Bandar Tun Razak, enggan mengulas mengenai berita ini.

Bagi Rizalman, beliau tidak merahsia bahawa dia telah melobi untuk menjadi calon dari Umno.

Katanya, beliau adalah anak tempatan dan telah berkhidmat kepada masyarakat di situ selama 15 tahun sebagai aktivis parti.

Salah satu kaedah kempen paling menonjolnya ialah  beliau mengagihkan petrol percuma kepada penunggang motosikal di kawasan itu - yang setiap kali dihadkan pada RM5,000 - sekali sebulan.

"Saya berminat, saya boleh sumbangkan satu kerusi untuk BN dan memastikan Datuk Seri Najib Razak kekal sebagai perdana menteri," katanya kepada Malaysiakini.

Calon pembangkang

Apa yang pasti, lawan BN di Bandar Tun Razak adalah Pakatan Harapan yang telah menugaskan PKR untuk meletakkan calon di situ.

Walaupun belum ada yang boleh disahkan buat masa ini, terdapat desas-desus bahawa PKR akan sama ada mencalonkan MP Tumpat selama empat penggal, Datuk Kamaruddin Jaafar (gambar) atau presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Kamaruddin, yang dilihat sebagai teman karib ketua umum Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menjadi penyelaras PKR Bandar Tun Razak sejak lebih dua tahun.

Bagaimanapun, beliau mungkin perlu memberi laluan kepada Wan Azizah, anggota Parlimen Permatang Pauh, yang dispekulasi untuk dipindahkan bertanding di ibu negara.

PAS dilaporkan komited untuk turut meletakkan calon di Bandar Tun Razak, dengan spekulasi bahawa tugas itu akan diserahkan kepada ketua Muslimah PAS Titiwangsa Dr Rosni Adam.

Ketika dihubungi, pegawai PAS Bandar Tun Razak enggan mengesahkan pencalonannya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS