Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KDN: Anwar boleh bebas 8 Jun, tapi...
Diterbitkan:  Mar 12, 2018 4:03 PM
Dikemaskini: 8:45 AM

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak semestinya dibebaskan pada 8 Jun ini seperti yang diuar-uarkan oleh pembangkang sebelum ini.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, hukuman dan tarikh pembebasan boleh berubah jika banduan itu melakukan kesalahan tatatertib penjara.

“(Ini akan) menyebabkan tindakan pelucuthakan remitan di bawah Peraturan-Peraturan Penjara 2000,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga adalah timbalan perdana menteri menjawap soalan Gooi Hsiao Leung (PKR-Alor Setar) (foto, bawah) yang meminta pengesahan bahawa Anwar akan dibebaskan berdasarkan remitan satu pertiga hukumannya, iaitu pada 8 Jun ini.

Menurut beliau, pengiraan tempoh hukuman, remitan dan tarikh pembebasan seseorang banduan, termasuk anwar dibuat oleh Jabatan Penjara mengikut ketetapan Akta Penjara 1995 serta Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

Akta dan Peraturan Penjara memperuntukan sepertiga remitan daripada hukuman kepada mana-mana banduan yang menjalani hukuman melebihi satu bulan.

“Sekiranya pembebasan banduan jatuh pada hari kelepasan mingguan atau hari kelepasan am, banduan tersebut hendaklah dibebaskan pada hari sebelumnya.

“Oleh itu bagi pengiraan hukuman dan remitan seperti mana ketetapan Akta serta Peraturan Penjara, tarikh pembebasan Anwar adalah pada 10 Jun (Ahad) tetapi hari sebelumnya adalah hari Sabtu, maka Anwar boleh dibebaskan pada 8 Jun (Jumaat),” katanya.

Anwar mula menjalani hukuman lima tahun penjara pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat kedua yang dikenakan terhadapnya.

Beliau konsisten menafikan perkara itu dan mendakwa ia bermotif politik.

Pada Januari lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata tindakan Anwar membuat kenyataan media dari penjara mungkin menjejaskan tempoh hukumannya.

Beliau berkata Anwar memerlukan kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Penjara untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Akhir-akhir ini, beberapa kenyataan telah dikeluarkan oleh Anwar, saya tertanya-tanya sama ada beliau benar-benar membuat kenyataan itu," katanya.

Nur Jazlan berkata kenyataan itu termasuk "restu" Anwar berhubung cadangan Pakatan Harapan menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri gabungan pembangkang itu.

"Jika kenyataan Anwar itu disampaikan melalui pihak ketiga dan tidak mendapat kelulusan Jabatan Penjara, maka ia adalah satu kesalahan yang boleh menjejaskan tempoh penjara," katanya.

 

Lihat Komen
ADS