Paling Popular
Terkini

WAWANCARA I Pada 2008, PAS melakukan perkara yang tak pernah dibayangkan. Parti itu menjadi sebahagian daripada kerajaan Selangor dan bukan lagi sebuah parti kampung dengan pengaruh hanya terhad di kawasan pedalaman.

Kemuncaknya, parti itu memegang satu perempat daripada kerusi di dewan undangan negeri dan tiga daripada 10 jawatan exco Selangor, meletakkan mereka dalam kedudukan yang kukuh dari segi dasar dan sumber - satu kedudukan yang mereka mahu kekalkan.

Tetapi tidak seperti sebelum ini, PAS Selangor, BN dan Pakatan Harapan mungkin terlibat dalam pertembungan tiga penjuru.

Walaupun kedua-dua parti utama perlu menguasai sebahagian besar kerusi, PAS Selangor percaya sokongan terhadap mereka yang dibina selama beberapa dekad bukan sahaja akan memastikan kelangsungan parti itu, tetapi membantu ia berkembang semasa pilihan raya ini.

"Kami menjangkakan keadaan Parlimen akan 'digantung' tetapi dengan PAS menjadi king maker," kata Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, yang lebih dikenali sebagai Roslan SMS.

Roslan, 54, adalah bekas setiausaha akhbar kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pernah didakwa sebagai tokoh utama di sebalik usaha memujuk pemimpin PAS membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno semasa era Pakatan Rakyat.

DAP masih ok, tapi bukan Amanah

Dalam temu bual dengan Malaysiakini baru-baru ini, Roslan, yang kini ahli strategi PAS Selangor, menjelaskan parti atau sesebuah gabungan perlu menang 29 daripada 56 kerusi DUN untuk mendapatkan hak mentadbir Selangor.

Sama ada BN atau HARAPAN, katanya tidak akan dapat berbuat demikian.

Alasannya, kata Roslan, PAS menjangka akan melakukan lebih baik di 15 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu dan memenangi kira-kira 25 kerusi.

Dalam senario ini, PAS Selangor bukan sahaja boleh memilih sekutunya untuk membentuk sebuah gabungan, tetapi juga menetapkan terma kerjasama, katanya.

"Kita tidak dapat bayangkan bahawa (Pengerusi HARAPAN) Dr Mahathir Mohamad akan duduk bersama dengan Lim Kit Siang dari DAP.

"Begitu juga, sekiranya PKR menang beberapa kerusi selepas PRU14 dan memutuskan mereka mahu bersama kami (PAS) dan menerima perjuangan kami, mengapa tidak?

"Atau sekiranya DAP tiba-tiba menyedari PAS benar, kita terbuka.

"Apabila kami menjadi blok terbesar, kami akan beritahu mereka apa yang kami mahu dan apa yang kami tidak mahu.

"Sekiranya kamu ikut tuntutan kami, kami akan terima untuk bekerja dengan kamu," katanya yang juga seorang ahli perniagaan dan ahli majlis Majlis Perbandaran Subang Jaya.

Walaupun tidak menyentuh secara terpeinci mengenai tuntutan PAS, Roslan berkata walau apa pun hasilnya, parti itu tidak akan bekerjasama dengan AMANAH.

"Mungkin apabila PRU14 selesai, tidak akan ada lagi AMANAH, jadi lebih mudah," katanya.

Tak letak harapan terhadap Umno

Walaupun PAS dan Umno dikatakan akan berganding antara satu sama lain, namun di Selangor kerjasama itu nampaknya tidak mungkin berlaku.

Beliau berkata tidak mungkin Umno Selangor boleh memperoleh keputusan lebih baik daripada 12 kerusi yang dimenanginya pada 2013.

"Sekiranya mereka (Umno) tak boleh menang besar, bagaimana kita dapat terima mereka? Kecuali mereka boleh menang 15 atau 20 kerusi, itu mungkin cerita lain.

"Tapi dari pembacaan kita sendiri di Selangor, hampir mustahil Umno dapat menambahkan kerusi mereka, dan hakikatnya angkanya mungkin berkurang.

"Jadi PAS tak letakkan harapan kita terhadap Umno," katanya.

November lalu, Setiausaha Umno Selangor Johan Abdul Aziz dilaporkan berkata sudah cukup bagi parti itu menjadi pembangkang selama sembilan tahun dan akan memberi tumpuan kepada 35 kerusi di Selangor termasuk 12 yang dimenanginya sekarang.

PAS berkata parti itu mahu bertanding di 43 kerusi DUN Selangor pada pilihan raya akan datang.

Lihat Komen
ADS