Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JAWI dakwa pasangan 'khalwat' cuba cemari reputasinya
Diterbitkan:  Mar 14, 2018 2:26 PM
Dikemaskini: 6:29 AM

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mendakwa pasangan suami isteri yang ditangkap berkhalwat dalam sebuah serbuan cuba merosakkan dan menjatuhkan nama baik penguatkuasa dan institusi agama itu.

Pasangan suami isteri mengheret JAWI ke mahkamah tetapi kemudiannya menarik balik saman mereka atas alasan menghadapi masalah kewangan.

"Terbukti bahawa segala yang dilakukan oleh kedua-dua tertuduh ke atas JAWI merupakan suatu tohmahan dan strategi terancang pihak-pihak tertentu untuk merosakkan dan menjatuhkan reputasi penguatkuasa dan institusi agama itu," kata Pengarah Jawi, Abdul Aziz Jusoh.

Menurut beliau, berdasarkan kejadian, suami wanita berkenaan, Mohd Ridhuan Giman sendiri yang membuat panggilan telefon kepada JAWI untuk melakukan serbuan ke atas diri mereka sendiri.

"Ridhuan telah melakukan kesalahan aduan palsu dengan membuat panggilan telefon kepada (seorang) pegawai penguatkuasa agama pada Januari 2017 dan melaporkan bahawa telah berlaku satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (khalwat) dan memohon penangkapan segera.

"Pasangan yang diadu tersebut adalah beliau sendiri dan isterinya sendiri dan 'drama' tersebut berlangsung sehingga pihak mereka suami isteri memfailkan saman kepada pegawai penguatkuasa JAWI kerana didakwa menangkap mereka, yakni pasangan suami isteri yang sah, bukannya pasangan khalwat," katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Aziz berkata JAWI dilepaskan daripada tuduhan itu selepas Ridhuan bulan lalu mengaku bersalah membuat aduan palsu di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata siasatan mendapati panggilan dibuat oleh Ridhuan sendiri yang menggunakan telefonnya dan laporan polis kemudian dibuat terhadapnya.

Ridhuan dihukum penjara empat bulan dan didenda RM1,500.

Lihat Komen
ADS