Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BERSIH: Laporan SPR kepada PM tak sah
Diterbitkan:  Mar 14, 2018 6:44 PM
Dikemaskini: 10:57 AM

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 mendakwa laporan akhir kajian semula persempadanan pilihan raya yang dikemukakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada perdana menteri adalah tidak sah.

Ini kerana katanya, hampir 200 kumpulan pembantah di Selangor merangkumi lebih 20,000 pengundi masih belum mendapat hak mereka melalui sesi siasatan tempatan.

"BERSIH 2.0 dan pengundi-pengundi telah memfailkan tindakan mahkamah dan akan terus berusaha untuk menolak dan membantah manipulasi persempadanan semula.

"Penyalahgunaan kuasa SPR dan perdana menteri dalam isu persempadanan semula tidak akan dilupakan. Pengundi-pengundi akan memastikan mereka akan dipertanggungjawabkan atas kesalahan memanipulasi persempadanan pilihan raya di Malaysia," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sebelum ini dilaporkan Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah menyerahkan sendiri laporan berkenaan kepada Datuk Seri Najib Razak pada 9 Mac lalu.

Mohd Hashim dalam satu kenyataan berkata, pihaknya selesai menjalankan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya seperti mana diperuntukkan di bawah Perkara 113 (10) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kenyataan hari ini, BERSIH turut menjawab penjelasan SPR pada 13 Mac yang menafikan dakwaan terdapat manipulasi persempadanan semula.

Antara lain, SPR berkata persempadanan semula bukan faktor penentu kepada kemenangan mana-mana parti tetapi ditentukan oleh pilihan pengundi.

Menurut BERSIH, dalam sistem “First-past-the-post” tatacara pembahagian kawasan pilihan raya dan kesamarataan bilangan pengundi sangat penting dan akan memberi kesan kepada keputusan pilihan raya.

"Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 pada tahun 2013, Barisan Nasional memenangi hanya 47 peratus undi popular, akan tetapi ia bersamaan dengan kemenangan 60 peratus kerusi parlimen.

"Jika dianalisa, kawasan-kawasan parlimen yang dimenangi oleh Barisan Nasional mempunyai purata 46,860 pengundi, manakala kawasan-kawasan parlimen yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat pula mempunyai purata 79,092 pengundi," katanya.

Perkara ini dakwanya berlaku kerana malapportionment (pembahagian tidak sekata) dilakukan oleh SPR sejak 50 tahun lalu.

BERSIH berkata, pelbagai kajian menunjukkan peratusan kemenangan kerusi parlimen BN akan meningkat setiap kali pilihan raya selepas persempadanan semula pilihan raya dijalankan.

Lihat Komen
ADS