Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cara tertutup juga boleh dibuang, kata Zam pada JASA
Diterbitkan:  Mar 15, 2018 3:17 PM
Dikemaskini: 7:23 AM

Membahaskan skandal 1MDB secara tertutup di kalangan pemimpin BN juga boleh menyebabkan seseorang pemimpin dipecat, kata bekas menteri Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin.

Zainuddin atau popular dengan panggilan Zam mengulas kenyataan seorang panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) - badan propaganda kerajaan - supaya Rais meletakkan jawatan jika gagal bertindak sebagai penasihat dan menggunakan saluran yang betul dalam menyuarakan pandangannya.

Rais sejak akhir-akhir ini lantang menyelar pentadbiran Putrajaya berhubung 1MDB, terutama kekurangan tindakan yang diambil terhadap ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low, tokoh penting dalam skandal tersebut.

“Seorang pegwai JASA Tun Faisal (Ismail Aziz) suruh Rais Yatim letak jawatannya yang bertaraf menteri kerana kritik kerajaan cara terbuka.

“Rais pilih terbuka kerana tertutup pun kena buang juga.

“Dia hanya nak buka mata rakyat untuk lihat demokrasi tertutup (dalam) Umno,” ciap Zainuddin di Twitter.

Bekas menteri penerangan itu dipercayai merujuk tindakan ke atas bekas pemimpin Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang dipecat susulan tindakan mereka menimbulkan kebimbangan mengenai 1MDB.

Muhyiddin disingkirkan sebagai timbalan perdana menteri, manakala Mukhriz pula dilucutkan jawatannya sebagai menteri besar Kedah, dan kemudian dipecat daripada Umno.

Bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula digugurkan sebagai menteri luar bandar dan wilayah kerana kritikannya berhubung skandal tersebut. Beliau kemudian meletak jawatan dari Umno.

Terdahulu hari ini, Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tun Faisal Ismail Aziz mencadangkan kepada Rais untuk meletak jawatannya.

Walaupun tidak mengetuai sebarang kementerian, Rais adalah penasihat sosiobudaya kerajaan dan kedudukannya adalah setarf dengan menteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS