Mimbar hari ini menyeru masyarakat supaya berwaspada agar tidak menyebarkan sesuatu yang tidak benar tanpa menyelidik kesahihannya.
Dalam teks khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini, mimbar memberitahu, kecanggihan alat komunikasi dan media sosial kini telah disalahgunakan menjadi alat bagi menabur fitnah atau spekulasi yang sengaja dibuat-buat.
Sehubungan itu, dengan memetik surah al-Hujurat ayat 6, mimbar menasihatkan agar umat Islam melakukan tindakan tabayyun atau mencari kebenaran yang tepat terlebih dahulu agar ia tidak memudaratkan mana-mana pihak yang berkaitan.
"Waspadalah, menyebarkan sesuatu yang tidak benar tanpa diselidiki tahap kesahihannya, jelas dilarang oleh Allah SWT.
"Lebih-lebih lagi jika berita tersebut membawa kepada kancah perpecahan, pergaduhan dan merosakkan hubungan," kata teks khutbah berkenaan.
Justeru, mimbar turut menegaskan betapa pentingnya untuk memeriksa, menyelidik dan menyiasat terlebih dahulu kebenaran setiap berita yang diterima sebelum mengambil sebarang tindakan.
Selain itu, mimbar turut menasihatkan agar umat Islam berhati-hati menyampaikan berita dan memastikan agar ia mempunyai nilai kebaikan serta manfaat kepada masyarakat sebelum disebarkan.
"Jangan disampaikan maklumat sehingga boleh menimbulkan ketegangan dalam soal agama, maruah dan hubungan kemasyarakatan.
"Tindakan tabayyun membantu kita memproses maklumat yang benar dan lebih tepat serta tidak memudaratkan mana-mana pihak yang berkaitan.
"Suasana ini menjadikan kehidupan masyarakat dalam keadaan aman damai dan sentiasa bersangka baik antara satu sama lain malah menjadi intipati kemajuan dan kesejahteraan sesuatu ummah dan negara," kata mimbar lagi.
