Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN I Bukan lagi mitos apabila membicarakan kebanjiran warga asing yang begitu serius di negara ini.

Sungguhpun terdapat usaha berterusan daripada agensi-agensi penguatkuasa untuk menahan warga asing tanpa permit di negara ini, namun ia seolah-olah bagai mencurah air ke daun keladi.

Trend kemasukan warga asing terus meningkat dari tahun ke tahun. Alasan yang sama diberikan oleh pihak berwajib kononnya mereka ini akan memenuhi permintaan pekerjaan di sektor yang tidak diminati warga tempatan seperti sektor jenis 3D (Dirty, Dangerous & Difficult).

Tetapi adakah semua pekerja asing itu benar-benar bekerja di sektor 3D tersebut? Rakyat Malaysia bukanlah bodoh tidak dapat melihat bahawa makin ramai warga asing tersebut dengan bebas menjadi juruwang, tauke kedai, pengusaha restoran, pemilik gerai hingga kepada mandur kepada pekerja tempatan dalam bidang-bidang teknikal peringkat bawahan.

Adakah jawatan dan pekerjaan yang disebut itu tergolong dalam jenis 3D juga? Cuba beritahu warga asing dari dunia ketiga mana yang tiada di Malaysia pada hari ini?

Dari Afrika hingga ke Vietnam, dari Bangladesh hingga ke China. Malah warga asing dari benua Amerika Latin pun mula memasuki negara ini atas pelbagai sebab.

Antara negara paling ramai warga asing

Kebanjiran warga asing dari hampir seluruh pelusuk bumi ke negara ini telah menjadikan Malaysia antara negara yang mempunyai paling ramai warga asing di dunia.

Satu jurnal kajian bertajuk "Implikasi Kemasukan Pekerja Asing Di Malaysia: Suatu Tinjauan Awal" telah dihasilkan oleh dua orang pengkaji tempatan dari Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2016.

Dalam kesimpulan jurnal tersebut, pengkaji menyatakan proses pemutihan, pengampunan dan pengusiran sebagai cara membendung percambahan populasi pendatang asing tanpa izin (PATI) mesti dikaji semula kerana ada tanda-tanda yang menunjukkan strategi ini adalah “counter-productive” iaitu menggalakkan perkembangan PATI dan bukan mengurangkannya.

Jurnal itu juga mencadangkan agar pihak kerajaan memberi penekanan kepada warga tempatan dengan penyelesaian melalui dasar-dasar yang lebih praktikal seperti aspek gaji, skop kerja, latihan dan intentif yang berpatutan serta melatih tenaga tempatan sehingga mahir dan berminat dalam sesuatu sektor.

Persoalannya adakah jurnal-jurnal kajian oleh institusi tempatan dalam hal ini diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa negara kita?

Kelonggaran luar biasa

Baru-baru ini penulis didatangi beberapa orang wakil dari salah satu persatuan India Muslim di negara ini.

Mereka juga menyatakan bahawa masyarakat India Muslim yang terlibat dalam bidang perniagaan berasa kurang senang dengan kebanjiran warga asing, secara spesifiknya dari Bangladesh.

Ini kerana kecenderungan komuniti tersebut untuk terus berada di negara ini dalam jangka masa yang lama, serta dominasi mereka dalam bidang-bidang yang secara tradisionalnya dipelopori oleh golongan India Muslim tersebut seperti mengusahakan restoran, kedai runcit dan lain-lain.

Kata mereka kerajaan seolah-olah memberi suatu kelonggaran luar biasa kepada warga Bangladesh untuk memasuki negara ini dalam jumlah yang besar sehinggakan kuota untuk kemasukan pekerja asing dari India bagi memenuhi keperluan restoran-restoran India Muslim tersebut mengecil.

Adakah benar dakwaan mereka ini? Dalam masa yang sama, penulis turut mendengar rungutan beberapa kontraktor berketurunan Cina yang melihat kebanjiran pekerja asing dari China mengancam periuk nasi mereka kerana hampir semua projek melibatkan China di negara ini didominasi oleh pekerja dari negara tersebut, dari jawatan atas hingga ke bawah.

Pada awal tahun lepas, Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) mengeluarkan amaran bahawa populasi warga asing boleh mengatasi populasi Cina Malaysia pada tahun 2030 jika trend kebanjiran warga asing seperti sekarang berterusan.

Masalah yang melibatkan warga asing turut menghantui Sabah dan Sarawak. Pada Mac tahun lepas diberitakan terdapat kira-kira 176 warga asing dari Korea Utara didapati "hilang" di Sarawak.

Manakala di Sabah pula warga asing telah menjadi pesaing utama dalam proses permohonan kewarganegaraan apabila data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan Sabah memiliki seramai 23,154 orang tanpa kerakyatan yang sekarang berumur di bawah 21 tahun dan paling kurang salah seorang daripada ibu bapanya adalah warga negara Malaysia.

Isu warganegara

Isu warga Pakistan yang diberi kewarganegaraan di negeri tersebut bukan lagi rahsia hingga masih ramai anak-anak bumiputera tempatan yang tiada kad pengenalan di Sabah.

Itu belum masuk perihal jenayah, pencemaran budaya, lain-lain ancaman yang dibawa oleh warga asing tersebut. Hinggakan ada warga asing yang sewenang-wenangnya diberi pingat gelaran oleh pihak istana tertentu dengan alasan dirinya telah berkahwin dengan warga tempatan.

Campurtangan politik, korupsi dan tiadanya kerjasama daripada jabatan-jabatan agama Islam negeri tertentu dilihat antara faktor kenapa mudahnya warga asing memperolehi taraf penduduk tetap atau kerakyatan di negara ini.

Demi masa depan negara, Pakatan Harapan (HARAPAN) bertekad untuk mengurangkan jumlah warga asing dariPADA 6 juta orang kepada 4 juta dalam penggal pertama pentadbiran kami insyaAllah.


DR MUHAMMAD FAIZ NA'AMAN Merupakan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Ketua Biro Integriti, Anti-Rasuah & Salah Guna Kuasa Pemuda BERSATU Nasional.

Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
 

Lihat Komen
ADS