Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jikalau PAS tak jadi kerajaan tak apa
Diterbitkan:  Mar 16, 2018 5:39 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi menjelaskan peranan yang ingin dimainkan parti itu.

Beliau berkata PAS - seperti semua parti yang terlibat dalam sistem pilihan raya - ingin menjadi kerajaan namun jika gagal mencapainya, ia mahu menjadi penasihat kepada kerajaan yang memerintah.

"Bukan kita tamak kuasa, bahkan kita terbuka sekiranya kerajaan menerima pandangan kita," katanya dalam artikel yang disiarkan Harakahdaily hari ini.

Terdahulu, Abdul Hadi berkata PAS mungkin bertanding sekurang-kurangnya 130 kerusi pada PRU ke-14 dengan sasaran membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Jika ia tidak kesampaian, katanya, PAS mahu menyertai pembentukan kerajaan dan bukan lagi sekadar pembangkang seperti sebelum ini.

Di peringkat negeri pula, parti Melayu kedua terbesar itu mahu menang di lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Perlis, Selangor dan Kedah.

"Kalau kita jadi kerajaan, kita boleh praktikkan. Jika tidak, kita menjadi penasihat kepada kerajaan," katanya yang menjadi menteri besar Terengganu ketika parti itu mentadbir negeri itu pada 1999-2004.

Umno pikul beban lampau

Berhubung peranan sebagai penasihat, Abdul Hadi berkata ia bagi membetulkan kesilapan yang dilakukan pemimpin yang kini bersama-sama Pakatan Harapan (HARAPAN).

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, ia jelas merujuk kepada Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad yang mentadbir negara selama 22 tahun.

Masalah ekonomi yang dihadapi negara adalah peninggalan pemimpin yang duduk dalam HARAPAN hari ini, yang memerintah negara sejak 1980-an.

"Bahkan pada saya Umno (kini) memikul masalah yang dibuat oleh mereka dahulu," katanya.

Oleh sebab itu katanya PAS memperkenalkan konsep ta'awun - menolong dalam perkara baik dan tidak menolong dalam perkara mungkar - dan bukannya membentuk kerjasama dengan mana-mana pihak secara tetap.

Permusuhan antara Mahathir dan PAS bermula sejak era 1980-an lagi, antaranya parti itu dikatakan sering menerima sekatan daripada kerajaan pada masa itu.

Selepas Mahathir menjadi pembangkang pula, PAS mempersoalkan kewibawaan pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan membangkitkan dakwaan salah lakunya ketika mentadbir negara.
 

Lihat Komen
ADS