Paling Popular
Terkini

WAWANCARA | Mohd Rafiq Naizamohideen berasal daripada 'keluarga Umno'.

Beliau sendiri menyertai parti itu sebaik saja menginjak usia 18 tahun dan kemudian menjadi anggota jawatankuasa Pemuda Umno paling muda, pada usia 27 tahun.

Selepas kira-kira sedekad di dalamnya, kekagumannya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad mencetuskan rentetan peristiwa yang akhirnya meletakkan beliau di jalan yang sama dengan bekas perdana menteri itu.

Hari ini, pemuda berusia 31 tahun itu adalah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan juga Timbalan Ketua BERSATU Melaka.

Walaupun menjadi semacam kejanggalan di kalangan adik beradiknya yang kekal menjadi pemimpin Umno di Melaka, Rafiq berjaya meyakinkan ibunya Hanifah Othman, 69 tahun, untuk meninggalkan parti itu.

Hanifah sudah terlibat dalam Umno sejak 40 tahun lalu.

"Saya menjelaskan kepada emak tentang isu semasa (seperti dakwaan) salah guna kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isu kenaikan kos sara hidup.

"Emak percaya dengan penjelasan saya," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Hanifah juga mengambil keputusan berhijrah kepada BERSATU selepas melihat bagaimana Umno melayan anaknya, hanya kerana cuba menganjurkan program bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di Melaka beberapa tahun lalu.

Rafiq bertegas beliau berniat baik dalam menganjurkan program itu. Lembaga Disiplin Umno akhirnya menggantung keahliannya selama enam tahun pada 2016.

"Sejujurnya, selain kelemahan Najib, emak mungkin merasakan cara Umno menghukum saya sebagai tidak adil. Beliau berharap Umno dapat berlaku adil dalam kes saya.

"Hal itu juga meyakinkannya (untuk meninggalkan Umno)," katanya.

Rafiq keluar Umno pada Oktober 2016 dan Hanifah menyusulinya dua minggu kemudian.

Di kalangan empat beradik Rafiq, seorang kekal sebagai ketua pemuda Umno cawangan dan seorang lagi ketua Wanita Umno cawangan.

Meskipun begitu, Rafiq berkata hubungan kekeluargaan mereka seperti biasa walaupun kini berbeza politik.

"Mereka bersikap profesional dan dapat terima (penghijrahan beliau dan emaknya ke BERSATU)," katanya lagi.

Rafiq bagaimanapun mengakui ada segelintir pemimpin Umno yang sengaja menyusahkan ahli keluarganya yang masih dalam parti itu.

"Ada pemimpin parti yang sentiasa bertanya mereka tentang apa yang diperkatakan oleh saya dan sama ada mereka menyokong saya atau tidak."

Keluarganya dapat melalui perubahan dan cabaran itu dengan baik, tetapi beliau mengakui kehilangan beberapa kawan ekoran tindakannya meninggalkan Umno.

"Sebahagian kawan saya daripada Umno, mereka marah dan tidak lagi berkawan dengan saya.

"(Mereka) tidak boleh terima dan menamatkan persahabatan, saya menerimanya," katanya lagi.

Tiada penyesalan

Beliau bersyukur kebanyakan kawannya dapat menerima perkara itu dan rasa saling menghormati antara mereka tidak hilang.

Rafiq pada mulanya menimbang untuk membuat rayuan terhadap penggantungannya. Tetapi pada Oktober 2106, beliau memutuskan untuk keluar bersama-sama 30 ahli lain.

Tidak lama selepas itu beliau menyertai BERSATU, parti yang diasaskan bekas perdana menteri itu yang menjadi idolanya sejak zaman kanak-kanak lagi.

"Ketika masih kanak-kanak, walaupun ketika sedang bermain bersama kawan, saya akan pulang ke rumah jika emak memanggil dan beritahu saya Mahathir keluar di televisyen.

"Walaupun...saya tidak faham semua kata-katanya ketika itu, tetapi cukup untuk melihat cara beliau bercakap dan keyakinan dirinya. Ia memberi inspirasi kepada saya," katanya lagi.

Oleh sebab itulah beliau segera menyertai Umno sebaik menginjak usia 18 tahun.

Ketika itu barangkali tidak terlintas dalam fikirannya yang perjuangannya bersama Umno akan berhenti secara tiba-tiba.

Beliau berkata tidak pernah menyesal menjemput Mahathir ke Melaka walaupun ia akhirnya membuatkannya berpatah arang dengan Umno.

"Saya fikir perjalanan politik saya sudah ditulis Tuhan.

"Tidak terlintas dalam hati saya perasaan menyesal ketika mengumumkan meninggalkan Umno selepas digantung atas perkara yang saya fikir tidak sepatutnya menjadi kesalahan.

"Ini adalah satu hikmah dan saya tidak menangisi perkara yang telah berlalu. Rupa-rupanya Tuhan memberi jalan yang lebih baik iaitu bersama BERSATU," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS