Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TMB: Peneroka tak semestinya dapat hak milik tanah

Kerajaan Kelantan menegaskan bukan semua permohonan pemilikan tanah akan diluluskan walaupun dibuat oleh mereka yang meneroka sendiri tanah tersebut.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata semua permohonan perlu mengikut prosedur dan syarat yang ditetapkan.

"Kadang-kadang rakyat meneroka tanah yang sudah ada pelan pembangunan oleh kerajaan. Jadi kita tidak boleh luluskan.

"Ada juga yang tidak cukup syarat, tak boleh lulus juga," katanya yang juga exco pembangunan wilayah, tanah, pelaburan dan sumber asli kepada Malaysiakini semalam.

Mohd Amar bagaimanapun berkata hanya mengulas soal permohonan pemilikan tanah secara umum.

"Dalam kes ini saya perlu mendapatkan maklumat dulu (sebab) ada isu yang kita tak tahu," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Malaysiakini 16 Mac berhubung sekumpulan penduduk di Kampung Banggol Petai, Pasir Puteh, yang mendakwa permohonan mereka untuk memiliki tanah yang diteroka sendiri telah ditolak tanpa sebab yang jelas.

Mereka mendakwa telah meneroka tanah tersebut lebih 50 tahun lalu dan membuat permohonan pada 1990-an dan baru mendapat jawapan bahawa ia telah ditolak.

Mohd Amar bagaimanapun berkata jangka masa permohonan tidak menjadi isu dalam pemberian kelulusan.

"Permohonan 20 atau 30 tahun lalu tetapi itu bukan isunya. Jika kerajaan sudah ada pelan pembangunan sendiri di situ, takkan kita nak bagi (kelulusan)?" kata Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu lagi.

Malaysiakini melaporkan kemelut yang dihadapi penduduk kampung itu dalam soal pemilikan tanah, antaranya Ismail Awang, 68, yang telah meneroka tanah di situ sejak 1967.

Membuat permohonan pada 1994, beliau mendakwa ia akhirnya telah ditolak Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas tanpa sebarang sebab yang jelas.

Beliau juga mendakwa kini berdepan risiko diusir daripada tanah itu.

Mat Hasan Yaacob, 67, pula mendakwa diminta sekali lagi membayar premium mengikut kadar terbaru yang jauh berbeza dengan kadar dahulu.

Beliau mendakwa diminta membayar premium RM31,000 untuk tanah seluas enam ekar yang diteroka bersama isterinya "puluhan tahun lalu."

Lihat Komen
ADS