Paling Popular
Terkini

Di sebalik kemasukan pelaburan dari China, kerajaan Melaka tidak melihat perkembangan itu sebagai sesuatu yang berbahaya atau berpotensi untuk 'menjajah' negeri.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata jika China mahu menjajah negeri itu ia sudah berlaku beberapa kurun yang lalu.

Memetik sejarah Idris berkata kira-kira 600 tahun lalu ribuan warga China sudah datang ke Melaka.

"Kalau pelabur-pelabur dari China nak jajah Melaka, mereka sudah menjajah 600 tahun dahulu (iaitu) apabila Laksamana Cheng Ho datang dengan lebih 1,000 ribu kapal dan 120,000 orang tentera," katanya merujuk kepada hubungan diplomatik antara negeri itu dengan China pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Kunjungan delegasi Cheng Ho itu berlaku ketika kerajaan Kesultanan Melayu Melaka berada di kemuncaknya.

Untuk rekod Melaka menjadi satu daripada pelabuhan terpenting di Asia Tenggara ekoran kedudukannya yang strategik di tengah Selat Melaka.

Contoh kepada negara

Isu kemasukan pelaburan dari China dianggap 'sensitif' ekoran isu perbezaan kaum yang selama ini banyak mempengaruhi politik dan sosial rakyat Malaysia.

Ia juga menjadi polemik di peringkat kebangsaan apabila Putrajaya menjalin hubungan ekonomi dan diplomatik yang aktif dengan Beijing.

Sejak beberapa tahun lalu Melaka menerima banyak pelaburan dari China, termasuk bernilai RM43 bilion untuk projek Malacca Gateway.

Projek di tapak seluas 609 ekar itu akan menyaksikan pembangunan hotel, kediaman, beberapa resort serta taman tema.

Ia dibangunkan melalui kerjasama syarikat KAJ Development Sdn Bhd dengan PowerChina International, Yantian Port Group dan Rizhao Port Group.

Bercakap di majlis sambutan rumah terbuka Tahun Baru Cina di Alor Gajah malam tadi, Idris berkata angkatan Cheng Ho dululah yang melindungi Melaka daripada diserang tentera asing dari Siam dan Majapahit.

Kini katanya Melaka menjadi model perpaduan dan integrasi antara kaum di Malaysia.

"Hari ini masyarakat Cina, India, Melayu pelbagai kaum hidup dalam keadaan bersatu padu sambil mencari persamaan dan mengecilkan perbezaan di Melaka.

"Kita menjadi contoh dan model perpaduan integrasi kaum dalam negara," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS