Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shahrizat tolak pelawaan bertanding di Sungai Besar
Diterbitkan:  Mar 18, 2018 9:14 PM
Dikemaskini: 1:16 PM

Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengesahkan tidak akan bertanding sebagai calon di Parlimen Sungai Besar pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas melihat terdapat tokoh tempatan yang berpotensi diketengahkan sebagai calon di kawasan parlimen itu.

Bagaimanapun beliau amat menghargai pelawaan yang dibuat Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos sebelum ini berhubung perkara berkenaan.

"Saya telah buat keputusan dan berbincang panjang dengan Datuk Seri Jamal dan jawatankuasa di peringkat bahagian. Mereka pun sudah terima keputusan saya, bahawa saya tidak akan turun ke Sungai Besar.

"Selaku ketua wanita, saya tidak boleh pentingkan diri kerana semasa turun padang di sana, saya lihat masih ramai calon tempatan yang boleh diketengahkan untuk mewakili parti," katanya dalam sidang media selepas hadir pada Majlis Pelancaran Jentera Wanita dan Puteri BN Perak di Kediaman Menteri Besar Perak, di Ipoh hari ini.

Pada 10 Februari lepas, akhbar tempatan melaporkan Jamal menerusi Umno Sungai Besar sedia memberi laluan kepada Shahrizat bertanding di parlimen itu jika bekas Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu diberi mandat oleh Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, Shahrizat berkata, beliau akan terus memberikan sokongan kepada mana-mana calon parti yang diberi mandat untuk mewakili BN sekaligus mengekalkan kemenangan seperti pada pilihan raya kecil Sungai Besar sebelum ini.

"Sokongan dan komitmen 100 peratus akan saya berikan pada calon di Sungai Besar nanti kerana parlimen berkenaan begitu dekat dihati saya," katanya.

Mengulas kesediaan untuk dicalonkan semula mewakili Umno pada PRU ke-14, Shahrizat berkata, beliau hanya menyerahkan perkara itu kepada Najib sebagai presiden parti untuk diputuskan.

"Terpulang kepada presiden kerana hanya beliau yang akan membuat keputusan berkenaan perkara ini," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS