Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

PRU14 | Ada satu khemah kecil dibangunkan di kawasan lapang berhampiran sebuah rumah batu yang diubah suai di kampung itu. 

Ada jajaran tali air di kiri dan kanan jalan. Ia terletak kira-kira 40 minit dari bandar Muar.

Kelihatan kira-kira 50 orang perempuan - muda dan tua - bertudung duduk pada bangku yang disusun di bawah khemah berkenaan.

Mereka datang dari kawasan sekitar Kampung Sarang Buaya kerana tertarik dengan tawaran Kedai Peduli Rakyat disediakan Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor.

Di situ mereka boleh membeli lima barang keperluan asas pada harga cuma RM1.

Namun di sebalik tawaran barangan murah pada 2 Mac itu, ia adalah tempat untuk HARAPAN menyampaikan mesej utama: kuasa menentukan kerajaan Johor dan di Putrajaya terletak di tangan wanita.

"Tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia," kata Naim Jusri, tokoh dari PKR yang disebut-sebut bakal diturunkan sebagai calon untuk kawasan Sungai Balang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Sebelum itu semasa jualan Kedai Peduli Rakyat berhampiran Kampung Sungai Pulai, Ketua Wanita AMANAH Johor, Norhayati Bachok, membangkitkan isu kenaikan kos sara hidup akibat pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Dia juga bercakap tentang pengurusan lemah ekonomi negara sehingga menjejaskan kehidupan golongan wanita serta kanak-kanak.

Norhayati - yang dirancang mewakili HARAPAN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani - berkata kenaikan kos sara hidup bermakna pengguna mendapat semakin kurang barang keperluan asas serta berkhasiat.

Wanita bawa perubahan

Maksudnya, kata Norhayati, keadaan itu menjejaskan kesihatan serta perkembangan anak-anak.

Maharani dan Sungai Balang adalah dua DUN yang terletak di bawah parlimen Muar. Calon HARAPAN untuk parlimen itu pula kemungkinan besar Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Berdasarkan daftar pengundi setakat suku ketiga 2017, wanita mewakili 51 peratus pengundi di ketiga-tiga kawasan itu.

"Kajian kami menunjukkan memang dari dulu wanita Melayu (di Johor) banyak menyokong BN sebab mereka mengikut pola pengundian keluarga masing-masing," kata Norhayati kepada Malaysiakini.

Justeru sebagai persediaan menghadapi PRU ke-14 ini HARAPAN bergerak aktif untuk bertemu sebanyak mungkin pengundi wanita, terutama Melayu.

"Kami nak beri kesedaran politik kepada mereka tentang peranan yang boleh dimainkan untuk membawa perubahan.

"Biasanya golongan wanita tidak mengambil tahu hal-hal politik kerana mereka sibuk menguruskan hal ehwal rumah tangga," katanya.

Kaedah ceramah mini seperti yang dilakukan Syed Saddiq di program berkenaan juga dirasakan berkesan untuk HARAPAN menyampaikan mesej mereka kepada wanita.

Kisah Selangor di Johor

Tinjauan Malaysiakini terharap sesi jualan dan ceramah mini sempena Kedai Peduli Rakyat di Muar juga menampakkan penerimaan yang baik daripada wanita.

Surirumah, Siam Hashim, 51, dan adiknya Satya, 48, berkata jualan sebegitu memang sesuai untuk membolehkan maklumat sampai kepada mereka.

Kata Siam biasanya wanita agak keberatan pergi menghadiri ceramah besar.

"Saya harap cara ini berjayalah," katanya ketika ditemui di Parit Samsu pada 16 Mac lalu.

Iryanti Murthy, 40, pula berkata langkah HARAPAN menyediakan peluang membeli barang-barang pada harga murah dan ceramah yang disampaikan boleh membuat orang ramai berfikir.

"Saya rasa saya akan undi mereka ini berbanding yang lagi satu (BN) sebab kami dapat program macam ni, dan ia membuka minda supaya kita berfikir," katanya yang ditemui di Sarang Buaya.

Seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Yati pula berkata ada banyak hal yang benar disampaikan oleh pemimpin serta penggerak HARAPAN semasa sesi ceramah mini dijalankan.

Selain bercakap mengenai kenaikan harga barang serta kos sara hidup penceramah turut menjelaskan pelbagai manfaat disediakan kerajaan HARAPAN di Selangor.

Faedah sebegitulah - antara lain - yang dijanjikan untuk dibawa ke Johor jika HARAPAN berjaya menguasai negeri itu nanti.

Antaranya tawaran air percuma, subsidi rawatan di klinik dan bantuan untuk ibu tunggal.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS