Paling Popular
Terkini

WAWANCARA | Bagi bekas Menteri Penerangan Tan Sri Dr Rais Yatim, kerajaan tidak sepatutnya tergesa-gesa untuk menggubal undang-undang bagi menangani berita palsu.

Rais yang kini menjadi penasihat sosiobudaya kepada kerajaan berkata, hal itu kerana istilah "berita palsu" masih menjadi perbincangan dan belum ada takrifan jelas mengenainya.

Katanya, berita palsu secara umum boleh ditakrifkan sebagai berita yang tidak berasas atau tidak benar dengan agenda tertentu.

"Takrifannya belum selesai tapi sekarang sudah mahu buat akta," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini semalam.

Sebagai contoh, Rais membangkitkan persoalan sama ada laporan tidak tepat juga termasuk dalam kategori berita palsu dalam undang-undang itu yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang kali ini.

"Jika kita katakan peserta himpunan di Seremban, misalnya, adalah 1,500 orang, tetapi ada yang menyatakan jumlahnya 5,000. Bolehkah kita gunakan istilah berita palsu, atau ia salah lapor?

"Apa beza palsu dengan salah lapor?" katanya lagi menegaskan kekaburan takrifan istilah yang dipopularkan Donald Trump ketika pilihan raya presiden Amerika Syarikat yang lalu.

Selain itu, Rais membangkitkan laporan yang menyasarkan individu tertentu dan dikatakan sebagai berita palsu.

"Tujuan berita itu untuk mengaibkan seorang menteri. Tetapi apakah (undang-undang itu) terpakai jika ada perbuatan menteri itu memang boleh mewujudkan tafsiran dan salah sangka? Apakah definisi berita palsu yang boleh kita gunakan?" katanya.

Pada 30 Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang baru untuk membendung berita palsu yang boleh mengancam kestabilan politik, menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Mungkin JASA pun kena

Cadangan mewujudkan undang-undang khas itu dikritik sesetengah pihak terutama pembangkang kerana dibimbangi akan digunakan untuk menutup berita yang tidak berpihak kepada kerajaan.

Nampaknya kritikan itu bukanlah tidak berasas sama sekali apabila beberapa laporan yang tidak berpihak kepada kerajaan baru-baru ini dengan segera dilabel sebagai berita palsu.

Antaranya laporan The Economist berhubung dakwaan manipulasi PRU ke-14 dan rampasan kapal persiaran mewah Equanimity yang dikatakan milik usahawan yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, Low Taek Jho.

Namun bagi Rais laporan salah juga boleh membabitkan kerajaan seperti Jabatan Penerangan atau Radio Televisyen Malaysia.

"Jangan fikir berita palsu hanya datang daripada pembangkang. Ia juga boleh daripada kerajaan, kerana (saiz) kerajaan besar.

"Barangkali Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) pun kena nanti," katanya lagi.

Rais juga mengakui undang-undang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Keterangan 1950 dan Kanun Keseksaan dapat menangani kesalahan serupa.

"Kaji dulu semua (undang-undang) ini, kemudian baru bincang - perlukah satu akta baru," katanya lagi.

Kawalan kendiri media

Ditanya tentang kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan akan menyemak semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) selepas PRU ke-14, Rais menyifatkan ia sebagai "pandangan logik" tetapi menggesa kementerian itu memastikan peruntukan yang perlu dipinda.

"Dahulu permit tahunan yang dilonggarkan, kini kita perlu tentukan seksyen mana pula yang hendak dilonggarkan," katanya.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri dilaporkan berkata demikian dalam program bersama ketua pengarang dan pemegang permit penerbitan pada 13 Mac lalu.

Ekoran itu beberapa kumpulan media tempatan berkata walaupun lebih suka jika akta itu dimansuhkan, mereka tetap mengalu-alukan pengumuman itu.

Rais juga menyuarakan sokongan terhadap kumpulan media tentang keperluan bergerak ke arah kawalan kendiri (self-regulation) melalui penubuhan majlis media.

Tetapi pada masa sama, beliau berkata oleh kerana PPPA masih wujud, penyelesaian terbaik adalah sistem dua tahap yang bermula dengan majlis media yang bebas.

"Tahap pertama adalah program dan sistem kendiri - pengamal media mempunyai majlis yang bertanggungjawab dan berintegriti tinggi.

"Apabila (ada perkara) tidak selesai sepenuhnya di situ, kita bersandar kepada undang-undang negara," katanya sambil menambah cadangan itu selaras dengan matlamat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk Malaysia menjadi negara maju.

Wawancara 1: 'Sebagai penasihat, takkan saya diam saja'

Lihat Komen
ADS