Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib manipulasi PRU13, soal Wan Saiful
Diterbitkan:  Mar 20, 2018 12:42 PM
Dikemaskini: 4:57 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mesti menjelaskan jika beliau memanipulasikan pilihan raya umum yang lalu, kata timbalan ketua strategi dan polisi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Wan Saiful Wan Jan.

Beliau juga mahu pengerusi BN itu memastikan taktik manipulasi tidak akan digunakan dalam pilihan raya akan datang ini.

Wan Saiful mengulas laporan sebuah firma data Cambridge Analytica yang dilaporkan memainkan peranan penting dalam kemenangan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengakui menjalankan operasi di Malaysia.

Pemimpin BERSATU itu menyatakan Cambridge Analytica sebuah syarikat yang bergelumang dengan skandal atas dakwaan memanipulasi data peribadi tanpa etika untuk kejayaan pilihan raya.

"Mereka dituduh mendapatkan data peribadi lebih 50 juta pengguna Facebook tanpa persetujuan, untuk digunakan dalam pilihan raya presiden Amerika bagi membantu Trump mensasarkan iklan kepada pengguna khusus dengan cara manipulasi, mengeksploitasikan 'nafsu jahat' (inner demon) mereka.

"Penasihat utama Trump, Steve Bannon yang juga seorang yang terkenal dengan pandangan kanannya itu terlibat sebagai lembaga pengarah syarikat itu," jelas beliau.

Wan Saiful berkata beliau terperanjat mendapat tahu dakwaan hubungan antara kempen Najib dengan Cambridge Analytica.

Beliau berkata hal ini menimbulkan tanda tanya jika Najib dan Umno menggunakan taktik yang sama dengan gerakan sayap kanan Amerika dan orang seperti Bannon.

"Manipulasi pilihan raya sangat tidak beretika dan merosakkan demokrasi berparlimen kita. Saya harap Najib tidak berniat membawa Cambridge Analytica ke Malaysia untuk mengeksploitasikan sentimen perkauman dan menciptakan pemisahan antara kaum hanya untuk faedah politik jangka pendek," katanya.

Wan Saiful menggesa perdana menteri menjelaskan berapa wang yang dibayar kepada Cambridge Analytica pada pilihan raya umum yang lalu dan bagaimana cara mereka bekerja.

"Lebih penting, tanpa mengambil kira betapa terdesaknya Najib untuk terus berkuasa, beliau tidak patut menggunakan taktik tidak beretika dan memecah-belahkan dengan memanipulasi sentimen sayap kanan yang berasaskan kaum di Malaysia.

"Jangan biarkan rasa terdesak kamu untuk terus berkuasa memusnahkan masa hadapan negara ini dan demokrasi berparlimen kita," kata beliau lagi.

 

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS