Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Saya sangat gembira apabila mendapati ratusan naskah Melayu yang tersimpan rapi di British Library, United Kingdom, kini boleh dibaca dengan satu klik sahaja.

Manuskrip-manuskrip sejarah termasuk Hikayat Hang Tuah, Hikayat Tanah Jawa, Undang-undang Melaka dan Hikayat Nabi Yusuf boleh dibaca dalam bentuk digital melalui http://www.bl.uk/manuscripts/.

Dengan menggunakan kata kunci ‘Melayu’ atau ‘Jawi’, sesiapa sahaja dengan mudah dapat mengakses manuskrip-manuskrip berkenaan dalam laman sesawang itu.

British Library menyimpan sejumlah besar manuskrip Melayu di dalam repositorinya, kebanyakannya kesusasteraan, sejarah dan undang-undang yang ditulis dalam skrip Jawi, bermula dari abad ke-17 hingga akhir abad ke-19.

“Tidak banyak dalam koleksi kami. Hanya kira-kira 100 manuskrip Melayu. Kesemuanya telah didigitalkan. Lengkap dari awal hingga akhir,” kata Lead Curator of Southeast Asian Material di British Library, Datuk Dr Annabel Teh Gallop, kepada Bernama.

Dr Annabel berada di Singapura baru-baru ini untuk membentang ceramah mengenai “Art and Artists in Malay Manuscript Books” sebagai acara sampingan pada pameran “Tales of the Malay World: Manuscripts and Early Books,” yang dianjurkan oleh Perpustakaan Nasional Singapura dalam usaha mengkaji kesusasteraan Melayu tradisional.

Lebih 140 bahan dipamerkan, termasuk manuskrip tulisan tangan dan buku yang dilitograf lebih awal.

Pameran selama enam bulan yang berakhir 25 Feb, 2018 itu mengkaji peralihan dari manuskrip-manuskrip tulisan tangan sehinggalah ke pencetakan buku awal abad ke-19.

Perpustakaan Nasional Singapura bekerjasama dengan Royal Asiatic Society of Great Britain and Ireland di British Library, dan Leiden University Library of the Netherlands, mempamerkan manuskrip yang jarang ditemui dari dunia sastera Melayu.

Ditanya sama ada manuskrip yang sama akan dibawa ke Malaysia, Dr Annabel menjawab dalam Bahasa Melayu dengan fasih: “Ini bukan pertama kali manuskrip British Library dibawa ke Asia Tenggara.”

“Warkah-warkah Raja Melayu telah dibawa ke Perpustakaan Negara Malaysia di Kuala Lumpur sekitar 1994 dan sebelum itu buku-buku cerita masa lampau sudah dipamer di Dewan Bahasa dan Pustaka juga di ibu negara,” kata Dr Annabel.

Terdahulu, dalam ceramahnya di mana beliau berkongsi mengenai iluminasi Al-Quran dan manuskrip-manuskrip Islam lain, Dr Annabel berkata beliau sangat yakin bahawa Munsyi Abdullah, bapa kesusasteraan Melayu moden, adalah juga “pencetus seni reka masa lampau Singapura.”

Pada masa itu, Munsyi Abdullah bekerja dengan Benjamin Peach Keasberry untuk mencetak sejumlah besar buku.

“Ya benar, Keasberry mengelola pusat percetakan itu tetapi saya percaya bahawa Munsyi Abdullah sendiri yang mereka dan melukis iluminasi di dalam bukunya.

“Dalam manuskrip Hikayat Abdullah, Munsyi Abdullah menceritakan bahawa beliau belajar melukis sejak kecil… Oleh itu, saya yakin Munsyi Abdullah patut dianggap sebagai penyumbang penting bagi seni kreatif Singapura pada masa lampau,” tambah beliau sambil menambah bahawa Abdullah mula menulis pada 1840.

Menurut Dr Annabel, seni yang dilihat dalam buku-buku Melayu adalah terutamanya seni keagamaan, dan contoh terbaik adalah iluminasi manuskrip di Asia Tenggara bukan saja didapati dalam karya-karya sastera atau sejarah, malah dalam salinan Al-Quran.

Pelbagai iluminasi mewah Al-Quran dihasilkan di beberapa pusat kesenian seperti di Terengganu, Malaysia dan Patani di Thailand, dan di seluruh kepulauan Indonesia dari Sumatera, Jawa ke Sulawesi dan pulau Sumbawa.

Boleh dikatakan kesemua seniman yang menghasilkan karya-karya seni indah itu tidak diketahui memandangkan maklumat mengenai seniman-seniman Melayu serta karya seni mereka tidak pernah didedahkan.

Bagaimanapun, dalam satu iluminasi manuskrip kesusasteraan Melayu dari British Library - Hikayat Nabi Yusuf, yang ditulis di Perlis pada 1802 - artis itu telah meletakkan tandatangannya sendiri, dan ulasan dan anotasinya memberi penjelasan mengenai selok-belok perdagangan buku di Semenanjung Melayu pada awal abad ke-19, kata Dr Annabel.

-Bernama

Lihat Komen
ADS