Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Pembangkang guna kanak-kanak semai kebencian
Diterbitkan:  Mar 20, 2018 6:03 PM
Dikemaskini: 10:11 AM

Program intervensi seperti Permata Kurnia memainkan peranan penting dalam menyerlah kebolehan luar biasa kanak-kanak autisme seterusnya membentuk mereka menjadi warga masyarakat yang menyumbang kepada kejayaan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata intervensi pada peringkat awal dapat menjamin masa depan yang lebih baik buat kanak-kanak terutama yang menghidap autisme, dan ini adalah penting dalam usaha kerajaan membentuk masyarakat Malaysia yang lebih prihatin serta penyayang.

"Anak autistik ini ada kebolehan luar biasa dalam suatu bidang tetapi dia lemah dalambidang lain. Isteri saya pernah jumpa seorang (kanak-kanak autisme) umur enam tahun boleh buat kiraan kimia dan matematik peringkat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) jadi perlu ada intervensi bagi menyerlah bakat anak-anak kita ini.

"Tidak mustahil anak-anak autisme seperti yang isteri saya jumpa itu boleh jadi saintis suatu hari nanti. Ini suatu harapan kita demi masa depan anak-anak autistik ini,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek bangunan Permata Kurnia Zon Selatan di Bukit Katil di Melaka hari ini.

Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung Program Permata, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Pusat Permata Kurnia Zon Selatan dibina dengan peruntukkan RM6.5 juta dilengkapi kemudahan pembelajaran, bilik rundingan, gimnasium, taman permainan, kolam renang dan trek larian itu dijangka memulakan pembinaan bulan depan dan siap pada awal 2019.

Pusat yang dijangka boleh menampung 250 kanak-kanak autisme dari Melaka, Negeri Sembilan dan Johor itu juga memberikan akses kepada program prasekolah, perkhidmatan intervensi awal dan program pendidikan komuniti.

Dalam pada itu, Najib berkata masyarakat mesti menolak kefahaman karut dan marut termasuk sihir serta dukun dalam soal autisme sebaliknya perlu mengamalkan cara perubatan saintifik supaya penghidapnya boleh menjadi seorang yang berjaya nanti.

“Bila saya tanya pengurus pusat autisme di Sentul (Kuala Lumpur)... saya tanya dia ada tak ramai ibu bapa daripada golongan miskin atau B40 yang hantar anak mereka ke pusat ini.

Masyarakat penyayang, prihatin

“Pengurus itu berkata malangnya ramai yang hantar adalah kumpulan pertengahan, M40. Saya tanya kenapa? Pengurus itu berkata sebab kebanyakan B40 punya kepercayaan tersasar dan mereka percaya anak mereka kena buat, (terkena sihir),” katanya.

Sementara itu, Najib berkata kejayaan sesebuah negara tidak boleh hanya melihat kepada pendapatan perkapita sahaja atau mengukur dari segi pembangunan fizikal sebaliknya mesti juga membentuk masyarakatnya dengan nilai-nilai yang tinggi seperti masyarakat penyayang dan prihatin atau ‘a kinder and softer Malaysia'.

“Inilah yang saya masukkan dalam gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50) iaitu kita bukan sahaja nak mengangkat martabat negara Malaysia sebagai negara 20 terunggul di dunia tetapi kita mahu ciri-ciri ini ditanam sebagai nilai asas dalam masyarakat supaya kita ambil berat dan ambil peduli orang yang susah serta orang yang kurang bernasib baik dan memerlukan pertolongan.

“Inilah kerajaan kita (Barisan Nasional) pada hari ini. Bukanlah sebaliknya yang dilakukan oleh seorang pemimpin pembangkang di sebuah negeri di utara sanggup menggunakan kanak-kanak untuk menyemai kebencian terhadap kerajaan, terkinja-kinja dengan lagu GST. Biarlah dia dengan perangai hodohnya. Kita berusaha untuk kanak-kanak dan tidak eksploit kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata dalil inilah yang membezakan pemimpin Barisan Nasional masa ini dengan pemimpin pembangkang dan atas sebab itu jugalah empat pemimpin DAP di negeri ini bertindak keluar daripada parti mereka.

Pada Februari tahun lepas Anggota Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him dan tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Goh Leong San (DUN Duyong), Lim Jack Wong (DUN Bachang) serta Chin Choong Seong (DUN Kesidang) keluar parti atas sebab hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan DAP.

Pada Ahad lepas, dua badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Kebajikan Surplus Pulau Pinang dan Pertubuhan Kebajikan Rakyat 1Malaysia serta Penang Front Party (PFP) membuat laporan polis meminta menyiasat Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang didakwa cuba mengeksploitasi kanak-kanak menerusi lagu demi kepentingan politiknya.


-Bernama

Lihat Komen
ADS