Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cuepacs nafi umur persaraan dilanjut ke 62 tahun

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini menegaskan bahawa isu melanjutkan persaraan penjawat awam kepada 62 tahun adalah isu lama yang sengaja ditularkan.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata dakwaan itu dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggugjawab sedangkan tiada kenyataan terbaru dibuat dan ia telah dimanipulasi bagi menimbulkan kemarahan terutama golongan muda.

“Propaganda ini digunakan untuk menjadikan orang muda marah dan benci pada kerajaan serta Cuepacs malah ahli kami sendiri marah... ini seolah-olah adu domba dan perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Wacana Khas Transformasi Nasional 2050 (TN 50) di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu.

Menurut Azih, kenyataan sedemikian dikeluarkan pada 2015 dan telah diselesaikan pada tahun 2016, melibatkan persaraan pada umur 62 tahun bagi jabatan tertentu seperti Jabatan Kehakiman dan profesional seperti pengarah dan tenaga pakar.

Yakin buat keputusan betul PRU14

Mengenai kenyataan Naib Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir untuk memecat penjawat awam yang tidak sehaluan dengan pembangkang sekiranya pembangkang berjaya mengambil alih kerajaan, Azih menyifatkan langkah itu sebagai tidak adil.

“Penjawat awam tidak sepatutnya diheret ke kancah politik kerana tidak adil kepada mereka dan sebagai penjawat awam mereka perlu memberi taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan yang memerintah,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis yang sama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata beliau yakin penjawat awam mampu membuat keputusan bijak dalam memilih pemimpin pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Katanya, penjawat awam yang menjadi tulang belakang kerajaan tentunya lebih maklum tentang hala tuju negara dan menghargai apa yang telah dilalui selama ini.

“Sebagai penjawat awam biasanya kita berada di satu pihak yang mana satunya sebagai penjawat awam dan di satu pihak lagi sebagai orang awam dan sebagai pengundi. Tunaikanlah tanggungjawab itu dengan kebijaksanaan masing-masing untuk mengundi,” katanya kepada pemberita.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS