Paling Popular
Terkini

WAWANCARA l Kerusi parlimen Jerlun sering dikaitkan sebagai 'transit' kepada anggota parlimen Umno.

Perkara ini dapat dilihat berdasarkan trend pilihan raya umum ke-11 hingga 13, di mana tidak ada anggota parlimen tetap mewakili 52,000 pengundi di kawasan itu.

Kerusi itu kini disandang oleh Datuk Othman Aziz yang menang dengan menewaskan calon (PAS), Ismail Salleh pada PRU13.

Pada PRU12, Jerlun dimenangi bekas Menteri Besar Kedah yang kini Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Datuk Seri Mukhriz Mahathir manakala penyandang sebelumnya adalah Datuk Abdul Rahman Ariffin dari Umno.

Menerusi wawancara Malaysiakini minggu lalu, Mukhriz tidak mendedahkan secara langsung akan bertanding di mana.

Namun beliau pernah berjanji kepada pengundi di Jerlun untuk kekal di situ ketika pertama kali bertanding pada pilihan raya 2008.

Mukhriz berkata beliau tidak mahu pengundi di kawasan itu menganggapnya “YB transit” memandangkan setiap kali PRU, BN akan menukar calon lain.

“Saya berjanji kepada pengundi di Jerlun kali pertama saya bertanding di sana apabila mereka tanya sama ada saya adalah salah seorang YB transit.

“Mereka beritahu saya, Jerlun adalah tempat di mana orang yang datang bertanding apabila menang, dia akan tinggalkan tempat itu.

“(BN) gunakan Jerlun sebagai batu loncatan dan mereka (rakyat Jerlun) mahu dengar dari saya sama ada saya melihat Jerlun seperti itu,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Sebelum ini terdapat desas-desus Mukhriz akan bertanding di Selangor.

Bagaimanapun Mukhriz menafikannya dan mengatakan beliau tetap akan bertanding di Kedah.

“Walau apa pun saya tetap akan kekal (bertanding) di Kedah. Saya tak tahu dari mana idea saya akan muncul (bertanding) di Selangor.

"Sudah tentu tidak ada sebab untuk saya berada di Selangor, sudah tentu Kedah,” katanya.

Parlimen Jerlun mempunyai 91 peratus pengundi Melayu, lapan peratus Cina dan dua peratus lain-lain.

Jerlun memiliki dua kerusi DUN iaitu Ayer Hitam dan Kota Seputih.

Menang majoriti tipis

Ditanya mengenai HARAPAN akan bertanding 15 kerusi parlimen dan 36 DUN, Mukhriz mengakui ia bukan perkara mudah dengan merujuk kerusi Ayer Hitam yang dimenanginya dengan majoriti tipis ketika dalam Umno.

“Saya menang majoriti kecil tapi saya menang ketika saya mewakili Umno. Jadi adakah pengundi Ayer Hitam masih boleh mengundi HARAPAN walaupun saya tak lagi dalam Umno ia satu persoalan.

“Setakat yang kami nampak macam boleh (menang), dia (pengundi) rasa meluat dan menyampah dengan Umno agak memuncak, jadi mungkin tu akan mendorong pengundi Kedah mengundi HARAPAN,” katanya.

Faktor lain seperti pertandingan tiga penjuru dan PAS akan menjadi ‘pengacau’ juga perlu diambil kira, katanya.

Sementara itu Mukhriz menjangkakan kerusi Bakar Bata yang disandang Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah sejak tiga penggal lalu adalah kerusi panas PRU14 untuk negeri Kedah.

Berdasarkan info.undi, pada PRU13, Ahmad menang dengan majoriti 895 manakala PRU12 pula hanya majoriti 358 undi.

Jasa Mahathir di Langkawi

Selain itu, Mukhriz melihat Langkawi antara kerusi panas memandangkan bapanya, Tun Dr Mahathir dikatakan mungkin akan bertanding di situ.

“Sebelum ini faktor utama digunakan calon BN di Langkawi adalah Tun M yang telah bangunkan Langkawi.

“Rakyat Langkawi dapat begitu banyak nikmat apabila pulau itu mendapat perhatian teristimewa oleh perdana menteri jadi perkara ini yang selalu dijaja (oleh BN) sebagai bahan kempen untuk yakinkan rakyat. Kali ini apa pula?

“Datuk Seri Bashah sendiri kata Tun tak ada jasa di Langkawi, yang ini kita nak tanya orang Langkawi sendiri benar ke tak benar,” katanya.

Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri selama 22 tahun mempunyai hubungan istimewa dengan Langkawi antaranya mengisytiharkan kawasan pelancongan itu sebagai pulau bebas cukai pada 1987 dan menubuhkan Lembaga Pembangunan Langkawi.

Kompleks Jeti yang menghubungkan Langkawi ke Kedah dan Perlis dibina semasa pentadbirannya, selain Lapangan terbang pertama di Langkawi juga dibina pada 1988.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membuat lawatan ke Langkawi bulan lalu mengumumkan peruntukan RM1.3 bilion bagi lima projek prasarana di kawasan itu menerusi Pelan Pusingan ke-3 Rancangan Malaysia ke-11.

Ia merangkumi projek tadahan air, naik taraf Hospital Langkawi dan pembinaan kuarters petugas kesihatan, pembinaan balai bomba dan jalan raya.

Mengulas perkara itu Mukhriz berkata peruntukan itu hanyalah janji BN untuk menang pilihan raya.

“Sudah jelas ini janji PRU sebab apa sahaja yang dia janji, dia tak boleh tunaikan sebelum PRU dan kemudian dia cakap jika kamu mahu, BN harus dikembalikan jadi kerajaan.

“Semua orang tahu janji ini dibuat untuk kurangkan kemungkinan Dr Mahathir bertanding di Langkawi,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS