Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Manifesto HARAPAN jejas kewangan kerajaan
Diterbitkan:  Mar 21, 2018 6:47 PM
Dikemaskini: 10:54 AM

Perubahan yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) akan melemahkan kedudukan kewangan kerajaan dan berpotensi menjadikan Malaysia sebuah negara yang tidak mesra perniagaan, kata badan pemikir antarabangsa BMI Research.

Dalam satu laporan yang dikeluarkan hari ini, BMI menjelaskan bahawa separuh daripada janji HARAPAN bertujuan menghapuskan usaha penyatuan fiskal berterusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Namun, menurut laporan itu HARAPAN tidak menyatakan alternatif aliran pendapatan bagi cadangan mereka, yang antaranya akan menyebabkan perbelanjaan kerajaan meningkat.

"Peningkatan perbelanjaan ketika tiada aliran pendapatan baru akan menjejaskan kedudukan semasa kerajaan dalam penyatuan fiskal dan boleh menyebabkan pelabur hilang keyakinan," kata laporan itu.

Laporan itu memetik contoh ikrar HARAPAN menghapuskan GST yang menyumbangkan 17.9 peratus pendapatan kerajaan sehingga suku ketiga tahun lalu dan ingin menggantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Dasar lain yang dicadangkan HARAPAN yang akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan termasuklah subsidi minyak, bantuan kewangan kepada majikan bagi meningkatkan gaji minimum dan penghapusan tol lebuh raya.

Menurut BMI lagi, dasar-dasar itu yang menyasarkan untuk meningkatkan gaji minimum dan mengawal harga barangan keperluan serta perubatan akan menjejaskan suasana perniagaan di Malaysia.

"Hal ini akan menyebabkan herotan pada harga barangan dan boleh menyebabkan perbelanjaan kerajaan meningkat.

"Tambahan pula, campur tangan kerajaan dalam ekonomi boleh menyebabkan tekanan terhadap inflasi, menjejaskan rancangan kerajaan untuk mengawal kos sara hidup," kata laporan itu.

Laporan itu juga menjelaskan bahawa laporan berita menunjukkan perniagaan kecil rakyat Malaysia ketika ini sedang mengalami krisis dan kepayahan dengan kos tenaga kerja yang tinggi di bawah dasar gaji minimum sedia ada yang turut menyaksikan perniagaan makanan terpaksa tutup kerana kekangan tenaga kerja.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS