Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Operasi SAR 24 jam cari 14 kru kapal korek pasir terbalik
Diterbitkan:  Mar 22, 2018 5:58 AM
Dikemaskini: Mar 22, 2018 2:23 AM

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kru kapal korek pasir yang terbalik di Perairan 12 Batu Barat, Tanjung Tohor, di Muar, diteruskan bagi tempoh 24 jam ini meskipun cuaca berangin dan laut berombak.

Timbalan Pengarah Operasi Wilayah Maritim Selatan Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata operasi itu kini sedang menumpukan usaha untuk menarik kapal berkenaan ke kawasan yang lebih cetek bagi memudahkan usaha menyelamat dilakukan.

Beliau yang juga selaku Komander Operasi SAR itu berkata kapal berkenaan akan ditarik menggunakan dua kapal tunda milik syarikat berkenaan selain bantuan peralatan daripada aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), KD Samudera.

“Kapal berkenaan tenggelam di kawasan laluan kapal dagang jadi kami akan tarik kapal berkenaan ke kawasan yang lebih selamat dan telah memaklumkan kapal-kapal yang lain untuk tidak melalui kawasan tersebut.

“Operasi SAR menggunakan penyelam agak sukar dijalankan kerana aliran laut yang deras dan berombak, jadi kami berharap jika kapal berkenaan dapat ditarik ke kawasan yang lebih rendah tekanan air akan lebih rendah,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Seramai 50 anggota dari pelbagai agensi penyelamat terlibat dalam operasi SAR itu.

Menurut Sanifah, itu merupakan antara usaha yang akan dijalankan sementara menunggu aset daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), iaitu KD Mahameru.

KD Mahameru tiba di lokasi kapal korek pasir yang tenggelam, pagi ini bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) 14 kru kapal yang masih hilang.

“TLDM juga mempunyai peralatan menyelam yang lebih sesuai bagi kerja-kerja menyelamat seperti ini,” jelas Sanifah.

Sehingga malam tadi, daripada 18 kru yang terlibat dalam kejadian kapal terbalik pagi tadi itu, 14 kru kapal dipercayai masih hilang manakala tiga lagi terselamat dan seorang ditemukan lemas.

Kesemua mangsa merupakan lelaki, membabitkan seorang warga tempatan dan 17 warga asing, berumur lingkungan 20 hingga 64 tahun.

Berdoa dan berharap

Berdoa dan berharap - itu antara luahan waris kepada Mohd Akashah Azizan yang merupakan seorang daripada mangsa dalam kejadian kapal korek pasir terbalik itu.

Abang sepupu mangsa, Azizul Ab Rahman, 35, berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu melalui WhatsApp ahli keluarganya pada 10.30 pagi tadi sebelum bergegas ke lokasi Pos Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat di Parit Jawa, di sini.

“Saya bekerja di Batu Pahat, jadi bila dapat makluman tu saya terus bergegas ke sini sebab saya ahli keluarga yang paling dekat, keluarga mangsa pula ketika kejadian, berada di Changlun, Kedah.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ada bagi penerangan pasal situasi terkini jadi sekarang kami cuma boleh berdoa dan berharap untuk yang terbaik dan mudah-mudahan semuanya selamat,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Menurutnya, mangsa yang berusia 25 tahun itu memang meminati bidang perkapalan dan telah bekerja lebih dua tahun dalam bidang itu.

Azizul yang sebelum ini pernah bekerja di Bernama TV, juga mempunyai pengalaman bekerja di bahagian perkapalan sebuah syarikat minyak dan gas negara.

“Dia (Mohd Akashah) pernah beritahu hasrat untuk menjadi kru kapal dan kebetulan saya juga pernah mempunyai pengalaman berada di atas kapal, menasihati dia untuk memilih syarikat yang baik dan menjaga kebajikan pekerja.

“Kali terakhir kami berhubung pada 8 Mac (Khamis) lalu menerusi Facebook dan ketika itu dia ada beritahu hasrat untuk berenang tetapi saya larang sebab tidak mahu sebarang perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Menurut Azizul lagi, anak keempat daripada enam beradik itu juga merupakan seorang yang periang dan sangat mesra dengan ahli keluarga yang lain.

“Kalau nak kata tak risau memang tipu sebab ahli keluarga sendiri, apatah lagi saya anggota keluarga yang paling dekat di sini dan keluarga yang lain semua menunggu maklumat saya.

“Anggota keluarga yang lain sedang dalam perjalanan ke sini, saya cuma boleh beri kata-kata semangat dan tawakal semoga semuanya selamat,” kata abang sepupu mangsa itu.

Dalam kejadian berkenaan, Pusat Operasi Pangkalan Maritim Batu Pahat menerima panggilan pada 8.50 pagi semalam mengenai kejadian kapal korek pasir yang terbalik di perairan Parit Jawa, di situ.

Seramai 18 kru kapal dilaporkan terlibat dengan 14 masih hilang, manakala tiga terselamat dan seorang ditemukan lemas malam tadi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS