Paling Popular
Terkini

PULASAN l Suatu petang kami berbual-bual selepas sesi kuliah mingguan di sebuah kilang kertas di Perai, Pulau Pinang.

Tubuh Ustaz Moin sudah berada di antara daun pintu dan badan kereta menandakan dia berada di persimpangan dilema - antara melayan sembang atau menghenyakkan tubuhkan ke kerusi pemandu dan berlalu meninggalkan loji percetakan itu.

Ustaz itu sempat bersembang bagaimana aktifnya dia dalam PAS tidak menghalang dia terlibat juga dalam sukan.

"Main bola sampai terkalih tempurung lutut," katanya.

Dia kemudian bercerita bagaimana suatu pagi semasa hendak keluar rumah mengajar, di atas bumbung keretanya ada kesan embun yang menarik perhatian.

Cuaca belumlah terik ketika itu. Biasanya kalau nak mengajar ke sekolah, tentulah masih pagi. Sebelum masuknya waktu dhuha.

"Atas bumbung kereta ni saya nampak ada kesan embun tu, bulaaat elok. Daripada besar lama-lama kecik," katanya.

Bagi anda yang tidak biasa dengan politik PAS, apa saja yang bulat kadang-kadang menjadi bahasa misteri daripada alam untuk ahli dan penyokong parti itu.

Kemudian, lama sebelum kejadian di Perai itu saya ke sebuah pejabat di Gombak. Saya yang belum mengenal Kuala Lumpur ketika itu sangat berahi untuk menjadi penulis - atau bahasa sedapnya, sasterawan.

Pada papan kenyataan dalam sebuah pejabat di Gombak itu terpampang tulisan Rahman Shaari dalam sebuah akhbar. Rahman menulis - dan nampaknya seperti mengkaji - ucapan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Hero PAS

Era 1980-an Abdul Hadi ialah hero bagi kebanyakan orang PAS. Dia belum bergelar lagi ketika itu, tetapi ucapannya dirasakan kebanyakan orang sebagai penuh dengan semangat dan keberanian.

Dan melihat tulisan itu saya bertanya: tidak ada perkara lainkah yang boleh dilakukan oleh Rahman selain mengkaji gaya dan pola ucapan Abdul Hadi?

Tidak seperti majoriti penyokong PAS saya tidak pernah berasa kagum dengan ucapan Abdul Hadi. Saya lebih tertarik dengan gaya Datuk Fadzil Noor yang lebih tajam dan menikam tepat pada waktunya.

Tidak ketinggalan ceramah atau kuliah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak akan berpanjang-panjangan apabila masa yang diperuntukkan kepadanya berakhir. Dia boleh saja menamatkan ucapan atau kuliahnya secara tiba-tiba tanpa melewah kata-kata dalam penutup.

Selain itu pada zaman kegemilangan dakwah melalui kaset ucapan adik-beradik Idris Ahmad dan Zakaria Ahmad juga menarik. Tidak ketinggalan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ia adalah zaman PAS sukar menyampaikan mesejnya kepada audien yang mencukupi. Namun di sebalik kekangan itu sambutan diterima PAS tidak memalukan langsung.

PAS di medan arus perdana

Ceramahnya selalu saja meriah. Majlis penerangan PAS adalah suatu pakej lengkap antara program sebaran maklumat dan pasar malam mini. Ekonomi penjaja berkembang pesat serentak dengan kutipan tabung derma yang selalu tidak pernah gagal digerakkan pada setiap ceramah.

Tapi itu dululah.

Sekarang PAS tidak lagi perlu bergantung kepada lidah rasminya. Atau sekurang-kurangnya parti itu tidak lagi menjadikan akhbar rasmi sebagai saluran tunggal menyebarkan risalah perjuangannya.

Sekarang PAS sudah berada di medan arus perdana dan berita yang tersiar selalunya yang baik-baik semuanya. Malah bukan sekali dua wajah berseri Abdul Hadi terpampang manis di muka depan akhbar utama negara.

Saya juga mengharapkan ada cendekiawan yang sanggup meluangkan masa membuat kajian mendalam, atau menulis tesis mengenai perbandingan seni ucapan Abdul Hadi pada 1980-an dan kontemporari.

Kita yakin para pengkaji, pensyarah atau ahli akademik boleh mengesan perbezaan-perbezaan kecil dan besar pada Abdul Hadi. Ia kemudian bolehlah disiarkan sebagai laporan khas akhbar utama dalam negara.

Sesekali akhbar perdana akan mengusik dan menjentik PAS - itu biasalah. Apalah nilai persahabatan tanpa usik mengusik dan gurau senda, kan?

Pada masa sama PAS sudah bersedia menjadi kerajaan. Limpahan hadirin yang memenuhi ruang setiap kali syarahan, ceramah perdana atau kuliah pejuang-pejuangnya adalah gambaran jelas bahawa parti itu akan memerintah negara tidak lama lagi.

Antara negeri yang paling berpotensi untuk PAS memerintah ialah Pulau Pinang. Dengan tawaran menarik seperti bantuan kemudahan untuk kereta dengan kekuatan 1300 berkuasa kuda, peluang itu jauh lebih besar berbanding di Selangor.

Tinggal lagi, PAS belum buat majlis bacaan doa qunut nazilah saja.

Selepas itu bendera yang ada simbol bulat di tengah-tenganya akan berkibar megah.

P/S: Saya sebenarnya bercakap mengenai manifesto pilihan raya. Memang saya tidak menyebutkan secara jelas pada perenggan-perenggan di atas. Tapi tidak sebut tidak bermakna tidak ada. Itu mantik salah seorang pemimpin kanan PAS.

Siapa yang tidak nampak, ternyata mereka adalah orang yang sempit akal fikirannya.

Saya juga tidak bercakap secara khusus mengenai PAS apabila menyentuh mengenai bendera dengan lambang bulat di tengah-tengahnya itu. Saya bercakap mengenai bendera Republik Palau.

Kepada penyokong PAS anda tidak perlulah berasa marah kerana ia bukanlah pelik. Jika berlaku salah faham, mungkin kerana manipulasi sesiapa di mana-mana saja.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS