Paling Popular
Terkini

ULASAN | Mendoakan kebaikan dan mendoakan keburukan kedua-duanya adalah sunnah berdoa, ada petunjuknya dalam hidup Rasulullah SAW dan para sahabat.

Berdoa agar musuh mendapat hidayah adalah dituntut seperti mana doa Nabi SAW agar orang-orang Thaqif mendapat hidayah tatkala mereka menyakiti Nabi SAW.

Berdoa agar musuh yang jahat dan golongan yang zalim mendapat pembalasan tuhan juga dibolehkan malah dituntut apabila kezaliman itu melibatkan kepentingan Islam dan umatnya.

Doa keburukan terhadap musuh yang jahat dan golongan yang zalim akan menggerunkan musuh dan menakutkan golongan yang zalim.

Asasnya adalah kerana doa adalah senjata mukmin. Nabi SAW bersabda (maksudnya):

"Doa adalah senjata orang beriman, tiang agama dan cahaya langit-langit dan bumi." (Hadis Riwayat Hakim)

Dalam hadis Sahih Bukhari dan Muslim, Nabi SAW berdoa ke atas Quraisy yang mengganggu dan menyakiti baginda ketika solat di Masjid Haram, "Ya Allah binasakanlah Quraisy" sebanyak tiga kali.

Orang-orang Quraisy yang sedang ketawa gembira melihat Nabi SAW diperlakukan demikian segera terdiam kerana takut dengan doa nabi SAW.

Kemudian Nabi SAW menyambung lagi doa baginda khusus ke atas tujuh orang pemuka Quraisy yang mengganggu baginda agar dibinasakan oleh Allah.

Kata sahabat nabi SAW, Ibnu Mas'ud radiyallahu anhu, aku melihat mereka antara yang mati terbunuh di medan Badar.

Nabi SAW juga mendoakan kehancuran tentera bersekutu pakatan Ahzab dalam peperangan Ahzab dan mendoakan kehancuran kerajaan Kisra Parsi.

Dalam Hadis Muslim, seorang sahabat nabi SAW yang terkenal bernama Sa'id bin Zaid radiyallahu anhu yang juga merupakan salah seorang daripada sepuluh sahabat yang dijamin syurga, mendoakan keburukan terhadap Arwa binti Uwais yang membuat tuduhan palsu terhadap beliau kononnya merampas sebahagian tanahnya.

Beliau lalu berdoa: "Ya Allah, sekiranya dia berbohong maka butakanlah matanya dan bunuh dirinya di tanahnya sendiri.”

Doa beliau dimakbulkan Allah lalu Arwa menjadi buta kemudiannya dan terbunuh di tanahnya sendiri akibat terjatuh ke dalam lubang.

Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani dan al-Aini dalam Syarah Sahih Bukhari, Nabi SAW mendoakan kebaikan untuk musuh yang kufur apabila merasa aman daripada pengkhianatan mereka dan mengharapkan hidayah untuk mereka.

Nabi pula mendoakan kehancuran musuh apabila mereka semakin kuat, gangguan dan ancaman mereka juga semakin kuat dan umat Islam tidak selamat daripada kejahatan mereka.

Senjata berdepan si zalim

Bagi golongan yang dizalimi, senjata mereka berhadapan dengan orang zalim ialah doa.

Nabi SAW bersabda dalam Hadis Bukhari dan Muslim (bermaksud):

"Takutlah kamu terhadap doa orang yang dizalimi kerana sesungguhnya tiada antara doa itu dengan Allah sebarang dinding".

Dalam satu riwayat Ahmad menyebut, “Meskipun doa daripada seorang yang kufur (yang dizalimi)".

Antara dalil boleh berdoa keburukan terhadap orang yang zalim ialah firman Allah dalam al- Nisa ayat 148 (bermaksud):

"Allah tidak suka berterangan menyebut kejahatan melainkan daripada orang yang dizalimi...".

Menurut Ibnu Kathir, berkata Ibnu Abbas, maksud ayat ialah Allah tidak suka seseorang mendoakan keburukan atas seseorang melainkan dia dizalimi kerana Allah memberi kelonggaran untuk mendoakan keburukan ke atas orang yang menzaliminya.

Berkata al-Sa'di, harus bagi orang yang dizalimi mendoakan keburukan terhadap orang yang menzaliminya dan mengadu perihalnya dan menyebut secara terang-terangan kejahatannya tanpa menambah pembohongan atau berlebih-lebihan mengatasi kadar kezaliman ke atas dirinya.

Hanya golongan yang zalim takut kepada doa orang yang salih dan doa orang yang dizalimi.

Bagi mereka yang baik, tidak melakukan kezaliman kepada manusia, mereka tidak bimbang terhadap doa keburukan oleh orang lain kerana yang menerima dan memakbulkan doa hanyalah Allah.


DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI adalah anggota parlimen Kuala Nerus.

Artikel ini dimuatkan kali pertama di Facebook penulis. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS